Baguslah Watie popular, pendapatan bertambah – Shuib

TIADA sekelumit pun rasa cemburu di hati pelawak dan usahawan Shuib apabila isterinya, Watie Hanifiah kini lebih popular berbanding dirinya mutakhir ini.

Menurut Shuib atau nama penuhnya Shahmira Muhammad, 39, dia menghormati minat isterinya dan menyifatkan perkara tersebut sebagai rezeki untuk keluarga mereka.

Betul juga, populariti dia (Watie) melebihi saya sekarang. Tapi, baguslah untuk pendapatan keluarga kami dan memang benarkan dia bekerja.

“Malah, saya rasa dia sendiri juga mengakui yang lepas berkahwin rezeki dia lagi banyak dan dapat bantu keluarganya. Saya nampak itu.

Saya juga tak menghalang untuk dia cari pendapatan sendiri. Dia pun memang suka bekerja,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media majlis pelancaran Dol’s Podcast, semalam.

Dalam pada itu, Shuib yang sentiasa memberikan sokongan positif tetap meletakkan syarat terhadap isterinya agar meletakkan urusan keluarga terutama anak-anak sebagai prioriti.

Menurutnya, komitmen Watie ketika ini bukan hanya terhadap anak-anak tetapi juga untuk produk yang memerlukan reviu dengan melakukan banyak bahan promosi media sosial.

“Saya memang sokong tetapi ada tetapkan beberapa perkara yang dia boleh buat atau tidak.

Watie perlu tahu had bekerja serta apa fokus sebenar. Setakat ini saya lihat dia masih boleh seimbangkan masa antara kerjaya dan keluarga. Fokus utamanya tetap anak-anak.

“Apabila reviu produk ada masanya dia perlu hasilkan konten untuk media sosial dan itu komitmen dia setiap bulan.  Setakat ini, semuanya berjalan lancar,” ujarnya.

Sebagai rekod, Shuib dan Watie bernikah pada 23 Jun tahun lalu.

Sebelum menikahi Watie, Shuib mempunyai empat cahaya mata hasil perkahwinan dengan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang meningga dunia pada 9 Ogos 2021 akibat Covid-19. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok