Azlan & The Typewriter, Nuha Bahrin gamatkan PKNS Pilih Karnival Kota Puteri

PENYANYI bervokal lantang, Azlan & The Typewriter bakal menghiburkan pengunjung PKNS Pilih Karnival Kota Puteri yang berlangsung pada 27 dan 28 Julai ini.

Acara anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu juga bakal diserikan dengan penampilan pelantun lagu Casablanca, Nuha Bahrin yang akan mengalunkan deretan seleksi popularnya.

Selain dua selebriti yang mempunyai pengikut tegar, pesta di Batu Arang, Selangor itu turut menampilkan dua bakat baharu istimewa iaitu Zubir Khan bersama Ezra Kairo.

Pengarah Program, Ishak Hashim berkata, pemilihan empat selebriti yang mempunyai kelompok peminat tegar itu adalah sejajar penganjuran PKNS Pilih Karnival Kota Puteri iaitu inisiatif kempen gaya hidup inspirasi PKNS HOMES tahun ini.

Ujarnya, sepanjang dua hari karnival berlangsung, orang ramai berpeluang meninjau pameran projek hartanah PKNS iaitu Puteri Ariana dan Puteri Ariana 2 sambil menikmati hiburan langsung.

“Kedua-dua projek perumahan itu berkonsepkan kediaman teres dua tingkat yang juga sebahagian daripada usaha PKNS memperluaskan portfolio tempat tinggal kontemporari di ibu kota.

“Kemudahan tambahan yang memenuhi keperluan gaya hidup masa kini turut memberi fokus terhadap binaan moden berkonsepkan teknologi hijau dengan penekanan konsep kelestarian.

“Sebagai penghargaan kepada orang ramai yang datang bersama keluarga, pelbagai aktiviti diselitkan termasuk persembahan artis serta peraduan yang menawarkan hadiah lumayan,” katanya.

Secara keseluruhan PKNS HOMES menawarkan ganjaran mencecah RM15,000 termasuk menerusi sesi cabutan bertuah yang mana pemenang bakal membawa pulang sebuah motosikal.

Selain itu, barangan keperluan asas seperti beras, gula, susu, minyak, tepung, pelbagai rangkaian produk makanan serta pelbagai barangan elektrik dijadikan hadiah sukan rakyat.

Antara aktiviti sampingan lain yang pasti meninggalkan kenangan seperti pertunjukan laser, layang-layang moden serta mini zoo.

Pengunjung juga berpeluang menyertai zumba, sukan rakyat seperti tarik tali, panjat tiang licin, pukul bantal dan banyak lagi selain permainan uji minda bertemakan Wheel Of Fortune, Minute To Win It, serta Family Feud.

Pada acara sama, 10 pembeli Puteri Ariana dan Puteri Ariana 2 yang membuat tempahan (mengisi Borang Pembelian Rumah (BPR-01) dalam tempoh dua hari program berlangsung akan menerima baucar barangan elektrik bernilai RM2,000. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok