‘Ayden, jadilah lelaki yang baik, menghormati wanita’

SEMPENA ulang tahun kelahiran ketujuh Mohamad Ayden Adrean, pelakon dan penyanyi Bella Astillah menitip doa dan nasihat buat anak lelakinya itu.

Dalam ucapannya, Bella atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, menasihatkan agar anaknya dapat menjadi lelaki yang baik, pintar dan menghormati wanita.

Bella turut mengakui anak menjadi sumber kekuatan buat dirinya mengharungi kehidupan setelah berdepan dengan pelbagai dugaan.

“Buat anak lelaki mummy, Ayden Adrean sudah 7 tahun umur Ayden. Banyak yang sudah mummy lalui, tetapi mengapa mummy masih ada kekuatan sehingga ke hari ini, semuanya kerana Ayden.

Ini sedikit ucapan dari mummy buat Ayden agar jadilah lelaki yang baik, pintar, menghormati perempuan dan melindungi keluarga.

“Kuatkan iman mu anakku dan jadilah seseorang yang berguna dan memberkati orang di sekeliling dalam segala hal. Jadilah anak yang bertanggungjawab, berakhlak dan menjaga maruah,” katanya.

Pelakon drama Aku Tanpa Cintamu itu membuat ucapan tersebut menerusi video yang dimuat naik dalam Instagram semalam.

Tambah Bella, dia sentiasa mendoakan agar Ayden menjadi anak yang baik dan disayangi ramai.

Menjadi orang yang pintar dan orang yang kaya, orang yang kacak itu adalah bonus, tapi apa yang jauh lebih penting daripada semua itu ialah Ayden menjadi orang yang baik.

“Mummy akan sentiasa doakan Ayden menjadi insan yang baik, ikhlas dan insya-Allah, pasti ramai yang akan menyayangimu,” katanya.

Ucapan Bella itu mengundang rasa sebak ramai netizen yang bertindak memberikan kata-kata semangat kepada Bella.

Kenapa tiba-tiba berair pula mata ini.

“Kenapa aku pula jadi sebak dengar suara Bella yang menangis. Aku pun jadi nak menangis sama.

Semoga Bella tabah mengharungi dugaan. Buat Ayden jadilah anak yang baik dan memelihara maruah keluarga. Bukan sahaja pintar, tetapi akhlak yang disenangi orang sekeliling,” kata netizen di ruangan komen.

Selain Ayden, 7, Bella turut dikurniakan anak perempuan iaitu Ara Adreanna, 4, hasil perkahwinan dengan pelakon dan penyanyi Aliff Aziz pada 9 September 2016.

Bella dan Aliff bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh idah, namun berpisah buat kali kedua pada 13 Jun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok