SUDAH tiga tahun berlalu, namun episod hitam di sebalik jeriji besi selama dua malam disebabkan penyalahgunaan dadah meninggalkan 1,001 pengajaran buat Niezam Zaidi.
Tidak keberatan berkongsi pengalamannya, Niezam atau nama sebenarnya, Mohd. Niezam Mohd. Zaidi berkata, tempoh selama tiga hari ditahan itu membuka matanya tentang banyak perkara, termasuk terbit rasa penyesalan dan sokongan individu terdekat.
Ujarnya, detik hitam memberi hikmah kepadanya untuk kembali bangkit membina nama dalam karier lakonan.
Pelakon berusia 32 tahun itu turut mengakui terkejut dan terharu apabila menerima sokongan daripada pelbagai pihak yang tidak menilai tentang kehidupan peribadi lalunya.
“Saya bersyukur sebab kebanyakan yang memberikan sokongan itu tidak menilai saya secara peribadi.
“Apabila saya baca komen-komen (netizen), adakalanya rasa tidak kuat juga tetapi hidup perlu diteruskan. Apa yang baik saya ambil, yang buruk jadikan iktibar,” katanya kepada HibGlam pada sesi fotografi drama terbaharunya, Hai Cinta, Dengarkanlah, baru-baru ini.
Dalam pada itu, dia menzahirkan rasa syukur kerana tidak ‘digam’ mana-mana stesen televisyen meskipun pernah terpalit isu dadah. “Saya gembira dan terharu apabila pihak stesen televisyen seperti TV3 kata jangan risau sebab mereka tidak pernah ‘banned’ saya. Terus-terang, bergenang air mata saya dibuatnya.
“Saya juga pernah cakap tak mengapa kalau nak ‘gam’, asalkan Allah tidak ‘banned’ saya.
“Seboleh-bolehnya, sekarang saya tak mahu naik sebab kontroversi tetapi nak orang terus kenal sebab hasil kerja,” ujarnya lagi.
Berkongsi lanjut, memori ‘pahit’ tersebut tidak membuatkan dia menuding jari apatah lagi menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya menyifatkan kejadian tersebut berpunca daripada khilaf sendiri.
“Saya tidak pernah salahkan orang sekeliling atau apa sahaja sebab itu semua adalah hikmah yang saya dapat rasakan ‘sesuatu’ antara saya dan Allah SWT.
“Ini juga juga pengajaran untuk saya dan mungkin kepada individu lain juga,” katanya lagi.
Paling membuatnya sebak ialah sokongan keluarga terutama bapanya, Mohd. Zaidi Othman, 66, antara insan yang sentiasa berada di sisi sepanjang tempoh tersebut.
“Papa (panggilan untuk bapa) datang ketika saya ‘kursus’ tiga hari dua malam di Kuala Kangsar. Jadi, memang keluarga nombor satu.
“Saya tak maklumkan tentang penahanan itu kepada keluarga, hanya minta maaf dan beritahu mungkin balik lambat. Tapi, tiba-tiba papa tiba di sana, memang momen tak dapat dilupakan,” katanya dalam nada sebak.
Transisi watak
Beralih membicarakan perihal karier, Niezam yang kini rancak dengan tawaran lakonan mengakui teruja apabila diberi peluang membintangi naskhah slot Akasia, Hai, Cinta Dengarkanlah arahan Eoon Shuhaini.
“Sebelum ini saya banyak berlakon telefilem dan drama untuk slot lain tetapi Akasia memang sudah lama tak buat. Kali terakhir drama Mencintaimu pada 2015.
“Saya memegang watak Hakimi dan paling teruja sebab membawakan karakter yang berbeza. Saya turut minta pakai rambut palsu panjang untuk kelainan,” jelasnya yang meminati naskhah Korea Selatan, India, Jepun dan Hollywood.
Menurut Niezam lagi, dia sentiasa berusaha mencari kelainan dalam setiap karakter lakonan agar penonton tidak bosan.
“Transisi untuk setiap watak memang menyeronokkan dan bagi saya amat penting agar kerjaya seni tidak ‘stagnant’ (mendatar).
“Saya sudah lakonkan pelbagai jenis watak dan paling banyak pastinya karakter antagonis tetapi takkan nak hidangkan benda sama sahaja.
“Sesekali pelakon juga perlukan kelainan dan saya sendiri memang mencari keghairahan dalam setiap watak,” tuturnya lagi.
Selain Niezam, drama Hai, Cinta Dengarkanlah turut dibintangi Anna Jobling dan Shukri Yahaya. – HIBGLAM