SELEBRITI versatil, Amy Mastura dikalung pujian ramai apabila selamat menunaikan ibadat haji tanpa perlu menghebahkan kepada umum.
Amy atau nama penuhnya, Amy Mastura Suhaimi, 51, hanya memaklumkan hal tersebut menerusi Instagram semalam dengan memohon maaf kepada peminat kerana tidak berkongsi sebarang perkongsian sejak mula mengerjakan rukun Islam kelima itu.
Assalamualaikum, salam Jumaat semua. Alhamdulillah saya dan keluarga sudah selesai mengerjakan rukun Islam yang kelima.
“Semoga Allah SWT menerima ibadah ini. Saya minta maaf tidak kemas kini apa-apa semasa di Mekah.
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada semua petugas dan ustaz yang sentiasa membimbing dan memastikan kami tidak tersasar tujuan,” katanya
Bintang filem Puteri Impian itu juga mengakui turut melalui pelbagai dugaan selain tetap mendoakan agar peminatnya mendapat peluang sama untuk menunaikan haji satu hari nanti.
Dugaan memang banyak tetapi Allah beri rezeki tempatkan kami bersama para jemaah yang sangat baik.
“Semoga Tuhqn berkati dan memberikan haji mabrur buat semua.
Saya juga sempat mendoakan buat para peminat supaya segala doa yang bersesuaian dimakbulkan serta diberi rezeki tunaikan umrah atau haji nanti, insya-Allah,” ujarnya.
Difahamkan, Amy menunaikan ibadah haji bersama suami, Alvin Tham Suffian dan dua anak perempuannya iaitu Adriana, 23, dan Adalia kini berusia 20 tahun. – HIBGLAM