Allah tahu niat saya – Fazura

KETIKA selebriti lain kembali sibuk menjadi ‘alat promosi’ jenama pro-Israel, berbeza pula dengan pendirian sosok bernama Fazura.

Tegas dengan pendirian untuk terus lantang bersuara dan berkongsi tentang bumi Palestin dalam media sosial, Fazura bertekad, tidak akan gentar dengan suara-suara sinis yang singgah di telinganya.

Berisiko diboikot dan tiada tawaran promosi jenama antarabangsa. Situasi sebegitu yang selalu dimomokkan terhadap aktres berusia 41 tahun itu.

Namun baginya, semua itu bukan alasan untuk berhenti daripada melakukan jihad kecil yang sekurang-kurangnya mampu menjentik rasa simpati terhadap penduduk Palestin.

Tegas pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin itu, rasa takut mahu pun bimbang tidak pernah wujud dalam dirinya sebaliknya sentiasa percaya dengan setiap rezeki yang sudah diaturkan Tuhan.

 

“Semuanya datang dari Allah. Alhamdulillah, Tuhan berikan saya kekuatan itu.

“Memang ramai yang risau dan takut kalau selepas ini tak dapat tawaran kerja dan sebagainya, tetapi ini jihad saya.

“Allah tahu niat saya. Jadi, saya yakin bahawa rezeki datang daripada-Nya dan tak risau sama ada akan ada tawaran kerja ataupun tidak,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Tanpa sedar, kesungguhannya berkongsi tentang Palestin turut membuatkan ramai pihak yang berminat untuk menjalin kolaborasi bagi memperhebat kempen mengenai negara bergolak tersebut dalam media sosial.

“Saya hanya lakukan tugas sebagai seorang muslim dan tidak mengejar sebarang pengiktirafan pun.

“Namun syukur apa yang saya buat itu ada juga pihak yang sedar dan semua kolaborasi adalah tawaran daripada mereka.

“Kami juga ada salurkan bantuan bersama dan kerjasama itu yang membuatkan kami nekad untuk terus menyebarkan maklumat tentang Palestin kepada dunia,” katanya lagi.

Dalam masa sama, bintang filem Manisnya Cinta Di Cappadocia itu mengakui, rasa simpati yang menebal sehingga terlalu kerap memuat naik tentang Palestin juga antara punca dia kurang berkongsi kehidupan peribadi dalam media sosial.

Perkara itu tanpa sedar mengundang buah mulut ramai sehingga tercetus khabar angin kononnya rumah tangga bersama Fattah Amin kini goyah.

AZURA masih mempertimbang tawaran berlakon sinetron di Indonesia kerana berat hati berjauhan dengan suami dan anak.

“Palestin juga menjadi sebab kenapa saya kurang berkongsi kehidupan peribadi dalam media sosial sebab saya rasa tak adil untuk paparkan kebahagiaan bersama suami dan anak ketika ini.

“Kita sibuk tayang bahagia sedangkan golongan ibu di sana menangis dan meratapi kehilangan anak-anak mereka. Itulah pendirian saya buat masa ini.

“Mudah-mudahan, kita semua terus berjuang bersama mewakili suara-suara mereka di sana,” jelasnya sekali gus menolak dakwaan hubungannya dengan Fattah seperti retak menanti belah.

Menoktahkan cerita tentang jihad kecil dan kisah rumah tangga, anak kelahiran Kuantan, Pahang itu melahirkan hasrat untuk membintangi sinetron atau drama rantaian di Indonesia.

Menurut Fazura, tawaran yang hadir daripada produksi negara jiran membakar semangatnya untuk melebarkan sayap di sana.

Tuturnya, peluang tersebut ibarat transisi kerjaya, selain mampu mencabar kemampuan lakonannya.

“Bagi saya, kalau nak kembangkan kerjaya memang perlu berani lakukan perubahan.

“Sebelum ini saya sudah membintangi lima atau enam buah filem di sana tetapi sekarang saya nak cuba sinetron.

“Impak filem memang besar, namun realitinya, pasaran terbesar di Indonesia didominasi sinetron,” ujarnya yang baru melancarkan 12 koleksi tudung sempena Hari Merdeka bersama Prospec KPM X Fazura baru-baru ini. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok