Aliff Aziz kecewa ibu jadi mangsa cemuhan netizen

PELAKON dan penyanyi Aliff Aziz melahirkan rasa kecewa melihat ibunya, Siti Hafiza Basharahil kerap menjadi mangsa cemuhan netizen terutama selepas bercerai dengan bekas isteri, Bella Astillah dan terpalit kes khalwat Ruhainies.

Mengakui sedih melihat situasi tersebut, Aliff atau nama penuhnya Mohammad Aliff Aziz, 33, bagaimanapun tetap menghormati pendapat semua pihak namun berharap netizen akan lebih berhati-hati ketika menulis sebarang komen.

Sebagai seorang anak, sudah semestinya saya kecewa dan sedih namun, disebabkan kekurangan serta kesilapan kerana telah meletakkan ibu di posisi sebegitu.

“Kami juga manusia biasa yang buat salah dan silap, kami juga ada perasaan.

“Saya menghormati pendapat semua, semua berhak memberikan pendapat, cuma berdoa dan berharap agar netizen berpada-pada dalam mengeluarkan kata-kata yang kesat dan tak baik,” katanya HibGlam.

Dalam pada itu, bekas juara Gegar Vaganza musim kelapan itu menegaskan, hantaran berunsur Islamik dalam media sosial miliknya dan Hafiza hanya sekadar peringatan secara umum.

Macam saya cakap, ini peringatan untuk saya dan semua pihak.

“Seperti contoh apabila saya dan ibu berkongsi hantaran tidak berkenaan, seperti berkongsi peringatan berkenaan kata-kata Islamik, kita tak perlu jadi baik untuk sebarkan benda yang baik.

Saya berharap apabila saya sebarkan perkara terbabit, insya-Allah Tuhan akan berikan kebaikan kepada saya,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai emosi ibunya, Aliff berkata, situasinya semakin baik selain memohon doa yang baik daripada semua pihak.

Saya mohon kepada semua, daripada kita bercakap perkara tidak baik atau pun melemparkan kata-kata kesat, lebih bagus tak perlu berbicara apa-apa.

“Mengenai emosi ibu saya, dia semakin baik sekarang. Doakanlah semoga semua pihak diberikan semangat dan kekuatan untuk terus maju ke hadapan,” ujarnya lagi.

Hari ini, Aliff dan Ruhainies mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz atas pertuduhan khalwat yang berlaku di kondominium di ibu negara pada 9 Mac lalu.

Mahkamah seterusnya menetapkan prosiding seterusnya akan disambung pada 17 Oktober depan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok