PENYANYI Aepul Roza menyifatkan wang yang dilaburkan sepanjang 10 minggu berentap di pentas The Hardest Singing Show (THSS) berbaloi selepas dinobatkan sebagai juara, semalam
Aepul atau Noor Syaiful Muhd Zalaludin, 36, berkata, persembahan pertama pada pentas akhir menerusi lagu It’s My Life nyanyian asal Bon Jovi sudah menelan belanja sebanyak RM30,000.
“Alhamdulillah kemenangan ini balik modal, kos persembahan saya untuk lagu solo pusingan pertama sahaja hampir RM30,000.
“Keseluruhan untuk 10 minggu persembahan di THSS pula, saya sudah menghabiskan sebanyak RM60,000 tapi Alhamdulillah, Allah SWT banyak beri rezeki.
“Sepanjang bertanding pun, saya ada terima banyak tawaran persembahan lain. Bayaran yang saya dapat dalam program ini pun saya sudah berniat tak mahu bolot seorang kerana ingin kongsi dengan seluruh pasukan yang terlibat,” katanya kepada HibGlam sejurus selesai acara semalam.
Tidak pernah menyandang gelaran juara dalam mana-mana pertandingan sebelum ini, suami kepada penyanyi Leez Rosli itu mengakui masih kekok dengan kemenangan yang diraihnya.
“Saya bermula sebagai peserta My Starz LG musim ketiga. Bagaimanapun, perjalanan saya dalam pertandingan itu hanya sampai peringkat separuh akhir sahaja.
Cabutan bertuah juga saya tak pernah menang. Jadi, saya boleh katakan ini kali pertama merasakan momen kemenangan sebegini,” katanya lagi.
Semalam, Aepul menepati ramalan ramai apabila dinobatkan juara program tersebut sekali gus melayakkannya membawa pulang trofi berserta wang tunai RM150,000.
Kedudukan naib juara menjadi milik penyanyi Aida Jebat yang membawa pulang trofi dan hadiah RM20,000, sementara Stacy pula ditempat ketiga dengan meraih trofi serta wang tunai RM10,000.
Aisha Retno, Putera Muhammad dan Zizi Kirana pula masing-masing berada di kedudukan keempat, kelima dankeenam membawa pulang trofi dan RM5,000.
Pentas akhir THSS diadili Datuk Seri Siti Nurhaliza, Edry Abdul Halim dan Zizan Razak manakal pelakon Adlin Aman Ramli tampil sebagai juri jemputan.
Program tersebut diserikan dengan kemunculan Nabil Ahmad dan Rina Nose selaku pengacara. – HIBGLAM