Al Hijrah turun padang, rai golongan memerlukan

MEMBAWA kelainan daripada kebiasaan, stesen TV Alhijrah menyambut ulang tahun penubuhan ke-14 dengan memberikan sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik menerusi program Hijrah Prihatin Kisah Mereka.

Menerusi program berkenaan, sebanyak empat pertubuhan menerima agihan bakul makanan berisi makanan keperluan asas bagi menyantuni golongan memerlukan.

Sebanyak 100 bakul makanan diberikan kepada lima wakil pertubuhan, termasuk daripada Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia, PPR Desa Tun Razak, Cheras (Mualaf), Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Al Mahabbah, Pusat Jagaan Warga Emas Al-Fattah dan Kelab Kakitangan Metro (Kelab Met).

HAMPIR 40,000 individu daripada pelbagai golongan menerima manfaat sepanjang lapan tahun penganjuran program Hijrah Prihatin.

Ketua Unit Integrasi Media dan Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah, Saifulizan Sidek berkata, pihaknya cuba lari daripada kebiasaan dan membawa kelainan menerusi program di luar skrin televisyen.

“Jika kita buat televisyen, tiada sentuhan langsung dengan penonton. Jadi hari ini, kita turun ke lapangan dan bawakan penonton-penonton TV Alhijrah yang kurang bernasib baik untuk menerima sumbangan.

“Selalunya kami yang menerima hadiah atau kek sempena tahun ulang tahun, tetapi tahun ini kami ingin berkongsi rezeki kepada golongan yang memerlukan.

“Kami percaya inisiatif seperti ini lebih dekat dengan masyarakat.Kami sudah mengadakan pelbagai program sambutan, jadi kali ini kita cuba lari daripada kebiasaan,” katanya.

SAIFULIZAN SIDEK

Dalam masa sama, Saifulizan berkata, sepanjang lapan tahun Hijrah Prihatin turun ke lapangan, pihaknya sudah menjelajah ke beberapa lokasi yang kurang mendapat tumpuan seperti pulau-pulau dan penempatan terpilih di kawasan pedalaman.

Antara pulau yang dikunjungi seperti Pulau Redang, Pulau Aur, Pulau Pangkor, Pulau Tuba dan empat pulau di Semporna, Sabah.

“Hampir 10 pulau kita sudah pergi. Seperti kita tahu, kos kehidupan di pulau tiga kali ganda lebih tinggi dari tanah besar.

“Jadi, kita bantu mereka dengan tujuan meringankan bebanan. Kami turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Bukan nak menunjuk, tapi kita nak memberi galakkan kepada rakan-rakan korporat lain untuk sama-sama menyumbang,” katanya.

Dalam pada itu, Saifulizan berkata, program yang telah bermula sejak 2016 tersebut telah menyantuni lebih 40,000 individu kurang bernasib baik di seluruh negara.

DIMULAKAN sejak 2016, Hijrah Prihatin menggunakan pendekatan bantuan berkala dan ‘one off’ kepada golongan kurang bernasib baik.

“Pelaksanaan program ini melibatkan kerjasama antara agensi agama lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sumbangan wakalah syarikat karporat.

“Kita nak bagi semua untuk merasa bantuan yang diberi. Jadi ada sesetengah kes kami akan memberi bantuan secara berkala dan ada yang one-off,” katanya

Selain itu, bercakap mengenai program khas sempena ulang tahun, stesen itu tidak ada program atau slot khas sempena ulang tahunnya.

“Kami tidak ada program atau slot khas sempena ulang tahun ini tetapi kami memberi nafas baharu kepada rancangan-rancangan yang mendapat permintaan yang tinggi daripada penonton.

“Kami juga akan meningkatkan mutu program dan mengembalikan program yang dilihat berpotensi untuk disiarkan.

“Antara program yang telah kami berikan nafas baharu seperti 30 minit bersama Datuk Ustaz Shamsuri Ahmad yang dahulunya dikendalikan Ustaz Don,” ujarnya menutup bicara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok