Adidas ‘goyang’, buang Bella Hadid

ADIDAS telah menggugurkan model terkenal, Bella Hadid daripada kempen keluaran terbaharu kasut retro berinspirasi Sukan Olimpik Munich 1972 yang menyaksikan pembunuhan 11 atlet Israel.

Syarikat gergasi pakaian sukan berpangkalan di Jerman itu baru-baru ini melancarkan semula SL72, yang pertama kali dipamerkan oleh atlet pada Olimpik Munich 1972, sebagai sebahagian daripada siri menghidupkan semula siri kasut klasik lama.

Tidak berpuas hati, gambar Bella atau nama sebenarnya Isabella Khair Hadid, 27, yang memakai kasut retro Adidas menimbulkan bantahan dalam kalangan pro-Israel.

Teka siapa wajah kempen itu? Bella Hadid, seorang model berdarah kacukan Palestin yang menyebarkan anti-Semitisme pada masa lalu dan menghasut keganasan terhadap Israel dan Yahudi,” ciap kedutaan Israel di Jerman di X pada Khamis lalu.

Beberapa figura besar dari Israel turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan penyertaan model Pro-Palestin dalam kempen kasut yang berkait sejarah hitam bagi rakyat negara itu.

Menyingkap semula sejarah tersebut, difahamkan sekitar sebelas atlet Israel dan seorang pegawai polis Jerman terbunuh pada Olimpik Munich 1972 selepas lelaki bersenjata dari kumpulan Black September Palestin menceroboh perkampungan Olimpik dan menjadikan mereka tebusan.

Hadid, yang mempunyai darah campuran Palestin itu lantang menyuarakan sokongannya terhadap hak Palestin sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober mencetuskan perang di Gaza.

Susulan itu, Adidas memaklumkan, mereka akan menyemak semula kempen itu berkuat kuasa serta-merta.

Dalam pada itu, netizen tampil menyatakan sokongan kepada Hadid, mengecam Adidas kerana menggugurkan Hadid daripada kempen itu dan menyeru supaya syarikat itu diboikot. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok