BUKAN mudah untuk popular dan bukan senang untuk bakat diiktiraf khalayak. Itulah yang berlaku kepada aktor negara kimchi, Yoon Chan-young.
Memulakan karier lakonan sejak 2013 sewaktu berusia 12 tahun bukanlah satu kelebihan buat Chan-young. Dia pernah ditolak dan dipandang sebelah mata antara pengalaman yang cukup mendewasakannya.
Sebelum dikenali ramai, saya sering menerima surat penolakan daripada produksi. Perkara tersebut menyebabkan saya kemurungan dan berkurung di bilik selama dua minggu.
“Tetapi saya tahu, saya harus bergerak ke depan. Saya berjanji pada diri sendiri untuk capai impian. Jadi, saya berlatih setiap hari. Rutin saya ketika itu hanyalah makan dan berlatih,” kongsinya.
Penantian berbaloi apabila Chan-young mula dikenali ramai selepas membintangi drama hit Netflix iaitu All Of Us Are Dead yang berada di tangga pertama drama paling ditonton di 59 buah negara.
Selepas mendapat tawaran All Of Us Are Dead, saya menerima surat tawaran menyambung pengajian di Hanyang Universiti,” ujarnya.
Sejak itu, populariti Chan-young naik mendadak dan naskhah High School Return Of A Gangster yang kini sedang ditayangkan menerusi Viu turut mendapat sambutan luar biasa.
Meskipun begitu, kata Chan-young, perjalanan seni tidaklah glamor dan indah seperti yang digambarkan.
“Saya selalu tidak yakin dengan mutu lakonan. Kadangkala sukar untuk saya faham apa yang berada dalam kepala pengarah.
Mood saya biasa bergantung bagaimana perjalanan penggambaran pada hari itu. Sama ada rasa seperti di neraka atau sebaliknya. Memang saya terlalu tegas dengan diri sendiri,” ujar Chan-young.
Sambung bintang drama Dr. Romantic itu, jika mampu diputarkan waktu sepanjang 11 tahun bergelar pelakon, banyak perkara ingin diubahnya.
“Saya tidak sempurna, kalau mampu ke masa lalu mungkin saya akan bekerja mengikut cara yang lain.
“Cuma ini adalah minat saya, jika berada di waktu paling sukar saya akan mengingat kembali kenapa saya mahu jadi pelakon.
“Saya mahu berlakon kerana mahu menghiburkan orang ramai dan mengukir senyuman pada penonton,” ujarnya yang memenangi anugerah Pelakon Lelaki Muda Terbaik menerusi drama Doctor John pada usia 18 tahun.
Impak popularitinya, selain meraih penambahan jumlah pengikut Instagram daripada 1.8 juta menjadi 5 juta, Chan-young juga mula dihujani tawaran kolaborasi dengan banyak jenama mewah antarabangsa.
Ditebak bagaimana mengekalkan identiti agar tidak berubah meskipun selepas popular, kata Chan-young mudah, hanya ingat asal usul.
Rasa seronok apabila ramai orang menonton lakonan saya. Untuk Netflix, lakonan saya ditonton di 190 buah negara. Tetapi populariti itu hadir dengan tanggungjawab yang besar.
“Saya masih seronok berlakon dan masa yang sama tidak melupakan asal usul dan kesusahan yang pernah dialami sebelum ini,” ujarnya yang meminati aktres Emma Stone dan Ryan Gosling.
Selepas Asia, Chan-young mempunyai impian cukup besar iaitu untuk bekerja di Hollywoood.
Meminati filem La La Land, Chan-young menyimpan impian untuk bekerja dengan pengarah filem berkenaan, Damien Chazelle.
“Saya sangat sukakan filem La La Land, saya telah tonton lebih 13 kali filem itu. Jika diberi kesempatan dan peluang, saya mahu bekerja dengan pengarahnya.
“Saya tidak tahu bagaimana perasaan cinta, tetapi saya memahaminya selepas menonton filem La La Land. Bagi saya naskhah itu sebuah filem yang sangat indah,” kongsi Chan-young yang hanya mendapat ciuman pertama di set penggambaran drama All Of Us Are Dead. – HIBGLAM
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.