3 anak tiri panggil ‘auntie’, Sarah tak kisah jadi ibu ‘segera’

BERTEMU jodoh dengan lelaki pilihan hati berstatus duda, penyanyi Sarah Suhairi mengakui sedia memikul tanggungjawab sebagai ibu ‘segera’ kepada tiga anak tirinya.

Sarah berkata, status suaminya, Aswad Mohd. Anuar, 38, bukan halangan untuk mereka meneruskan persahabatan seterusnya membawa hubungan ke jenjang pelamin.

“Ketika perkenalan awal, Aswad sudah setahun bergelar bapa tunggal bahkan sebenarnya kami juga tak pernah meletakkan sebarang status sepanjang empat tahun berkawan.

“Tetapi saya sendiri dah berjumpa dengan tiga puterinya yang menerima kehadiran saya dalam hidup mereka.

“Kawan-kawan rapat saya pun sudah bertemu dengan anak-anak Aswad, mereka dah kenal baik.

“Saya tak kisah menjadi ibu ‘segera’. Sebelum ini mereka panggil saya ‘auntie Sarah’, mungkin selepas ini panggil saya ibu,” katanya ketika ditemui selepas pernikahan yang berlangsung di Berern Hill, di sini, hari ini.

Juara Big Stage musim pertama itu, juga berkata, mereka berkenalan di Pusat Ekuestrian Bukit Kiara berikutan masing-masing meminati sukan berkuda.

“Mungkin ada yang tak tahu, Aswad selain pensyarah adalah jurulatih sukan berkuda dan kerap dipanggil menjadi juri manakala saya aktif sukan berkuda sejak usia 14 tahun, jadi kelompok kawan kami adalah orang yang sama.

“Dari situlah tercetusnya perkenalan. Apa pun sepanjang empat tahun berkawan, kami tak berahsia kerana Aswad sering temani saya ke majlis tertentu.

“Cuma dia tidak menonjolkan diri sangat kerana bagi kami selagi belum ada ikatan sah, lebih baik simpan sendiri,” ujarnya.

Pada majlis pernikahan itu, Sarah menerima mas kahwin berjumlah RM2,486 berupa gelang tangan emas bersama tujuh dulang hantaran berbalas lima.

Sarah dan Aswad mengikat pertunangan 27 Januari lalu, manakala majlis resepsi diadakan malam ini di lokasi sama, disusuli satu lagi persandingan minggu depan.

Seramai 200 tetamu termasuk teman artis Wani Kayrie, Sissy Iman, Afiq Shazwan dan Naim Daniel menyerikan majlis bertemakan serba putih itu.

Terdahulu, Aswad pernah mendirikan rumah tangga pada 2008 dan mempunyai cahaya mata berusia 14, 10 dan lapan tahun, namun perkahwinannya itu berakhir pada 2019. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok