17 tahun baru ada telefon, itu pun bersyarat – Iman Troye

DIBESARKAN dalam keluarga menitikberatkan disiplin dan peraturan, penyanyi Iman Troye mendedahkan hanya memiliki telefon bimbit pada usia 17 tahun yang dilimitkan masa penggunaannya.

Iman atau nama sebenarnya Iman Alyssa Sahabuddin, 22, berkata, pada sebelah malam alat komunikasi itu perlu diserahkan kepada ibunya untuk disimpan sebelum menyelesaikan kerja sekolah atau tidur.

“Saya dapat ‘pegang’ telefon pada usia 13 tahun untuk memuat naik lagu yang saya nyanyikan dalam laman sosial tetapi itu pun kepunyaan ibu.

Kemudian ketika tingkatan lima baru saya ada telefon bimbit sendiri yang juga perlu diserahkan semula kepada ibu pada waktu malam seperti disyaratkan.

“Peraturan ini turut diikuti adik-beradik saya yang lain ketika mereka masih di bangku sekolah,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kotek Total Protection, baru-baru ini.

Menurut anak bongsu itu, seiring peningkatan usia dia mula menyedari tindakan orang tuanya berhubung had penggunaan telefon mempunyai sebab tertentu.

Katanya, selain telefon, sejak kecil dia dan adik-beradik lain juga diminta mematuhi beberapa peraturan lain supaya lebih berdisiplin.

Dulu ada juga saya tertanya-tanya kenapa perlu ikut jam untuk guna telefon dan kawan-kawan kena datang rumah dahulu jika mahu keluar bersama-sama.

“Waktu itu kita tak faham lagi, sekarang apabila tengok insiden menakutkan akibat jenayah sosial membuatkan saya lega adanya peraturan dalam kehidupan kita,” ujarnya.

Iman memberi maklum balas berkenaan isu semasa membabitkan golongan remaja yang memberontak sehingga sanggup lari dari rumah atas alasan dikongkong keluarga.

Penyanyi lagu Nang itu berharap golongan muda tidak terbawa-bawa emosi dengan melakukan perkara yang boleh membuatkan mereka menyesal di kemudian hari.

Ibu bapa hanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak, jadi memang patut kita patuhi nasihat mereka berbanding mengikut saranan individu tidak dikenali dalam laman sosial atau menerusi aplikasi lain,” ujarnya.

Pada majlis sama, Iman turut melancarkan lagu baharu berjudul Teman Malam sebagai sebahagian promosi produk Kotex Total Protection. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok