PETALING JAYA – Penyanyi Zynakal terbabit dalam kemalangan ketika menunggang motosikal yang mengakibatkan lututnya cedera, semalam
Insiden tersebut dikongsikan pelakon Raja Atiq yang mendakwa berpunca daripada kelalaian seorang pemandu kereta.
“Punca elak kereta sebab tak bagi signal. Tolonglah rakyat Malaysia, bagilah signal. Tak susah pun dan kami tak laju pun.
“Alhamdulillah, tiada kecederaan serius, Kami ‘ride’ okey sahaja tadi.
“Masa nak balik hampir sampai rumah, baru jadi. Tidak mengapalah, yang penting okey,” tulisnya dalam Instagram Story.
Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli, 25, turut berkongsi foto kecederaannya, selain gambar terbaring di bahu jalan.
Begitupun, menerusi perkongsian terbaru, penyanyi lagu Tak Sangka itu sudah mendapatkan rawatan dan hanya berehat di rumah.
“Saya okey, terima kasih kerana bertanya khabar,” ujarnya sambil menunjukkan lutut yang bertampal pembalut luka.
Ini adalah kemalangan keduanya tahun ini apabila pada Januari lalu Zynakal berdepan detik cemas ketika menyertai konvoi motosikal di Janda Baik, Bentong, Pahang.
Dia yang menunggang motosikal berkuasa tinggi hilang kawalan ketika melalui selekoh sehingga terjatuh.
Namun, Zynakal memaklumkan hanya mengalami cedera ringan iaitu luka pada bahagian tapak tangan serta lutut kanan akibat tersagat jalan bertar. – KOSMO! ONLINE