Zayan optimis fokus pendidikan dakwah 

MENJADI saluran berteraskan Islamik tidak menghentikan usaha stesen radio Zayan FM untuk tetap memberi fokus kepada manfaat dalam perkongsian ilmu dan dakwah buat pendengar. 

Kata Pengurus Penjenamaan Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor, pihaknya menjadikan alunan bacaan al-Quran, zikir dan lagu nasyid sebagai identiti mereka.

Selain dapat memberikan perkongsian informasi, mereka juga ingin memberi peluang kepada penggiat muzik nasyid untuk terus berkarya di samping menyampaikan mesej dakwah. 

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Memang konsep stesen radio memberikan tumpuan kepada dakwah dan penyampaian informasi agama. 

“Peningkatan jumlah pendengar juga memberikan satu petanda yang positif dan ini menjadi pembakar semangat buat kami untuk terus melakukan yang terbaik untuk pendengar,” katanya kepada HibGlam. 

Dalam pada itu, Wan Syahrul turut bakal melunaskan nazar dengan membotakkan kepala apabila rating Zayan mempamerkan prestasi cemerlang dan peningkatan. 

“Segmen Zayan Pagi dan Zayan Petang menjadi pilihan pendengar di samping segmen lain seperti Timeline Akhir Zaman, Bukan Nama Sebenar dan Sembang Deep antara yang popular dan trending di media sosial.

“Saya akan membotakkan kepala selepas sambutan Hari Raya Aidiladha ini nanti,” ujarnya. 

Mengulas mengenai kandungan, Wan Syahrul memberitahu, setiap topik yang akan disiarkan perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu. 

“Melibatkan isu sensitif, kami akan memastikan topik yang ingin dibincangkan itu mendapat pengesahan daripada pihak bertauliah seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi),” terangnya. 

Sementara itu, Pemangku Ketua, Astro Radio & SYOK, Priya Prabakaran berkata, pihaknya komited dalam menjadi pilihan pertama Malaysia untuk kandungan Islam dengan menyediakan program yang memperkaya, tulen, dan menarik yang selaras dengan nilai dan kepercayaan pendengar. 

“Kami merancang untuk terus mencapai matlamat ini melalui pembentukan kandungan inovatif, dan penglibatan komuniti sama ada ke udara di radio, liputan dalam talian dan juga acara di lokasi terpilih.

“Kami turut berdiri sebagai sebuah stesen radio yang fokus kepada kandungan agama Islam dan sentiasa menyahut cabaran dengan menyesuaikan diri kepada keperluan pendengar serta sering mengadakan kerjasama dengan pendakwah, ustaz dan pempengaruh terkemuka. 

“Kami juga mengekalkan kualiti kandungan & ketulenan dalam siaran. Matlamat kami adalah untuk mencipta platform yang dipercayai, bukan sahaja memberi maklumat tetapi juga memberi inspirasi dalam menyatukan komuniti Muslim di Malaysia,” katanya. 

Untuk info, Zayan merupakan stesen radio berbahasa Melayu yang dikendalikan oleh Astro Radio telah mula bersiaran pada Oktober 2017. 

Barisan penyampainya terdiri daripada Faizal Ismail atau FBI, Mawi, Anas Tahir, Lin Ariffin, Hazwan Shah dan Tajdid Hadhari. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok