[VIDEO] ‘Tindakan selanjutnya, tunggu hasil perjumpaan Ustaz Don dengan Jakim’

SEBARANG tindakan lanjut adalah bergantung kepada keputusan selepas pertemuan Ustaz Don dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) nanti.”

Demikian yang dimaklumkan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman berhubung isu merehatkan pendakwah, Ustaz Don Daniyal daripada mengendalikan program Salam Baitullah terbitan stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini.

Menurut Suhaimi, Ustaz Don akan berjumpa pihak Jakim dalam tempoh terdekat dan pihaknya akan ambil maklum dapatan daripada pertemuan tersebut

“Tempoh direhatkan juga begantung dengan pertemuan dengan pihak Jakim.

Sebab utama saya rehatkan Ustaz Don kerana enggan orang seama Islam berbalah sebab itu bukan perkara yang baik,” katanya kepada HibGlam, semalam.

Tambah Suhaimi, dia juga sudah bertemu empat mata dengan pendakwah tersebut bagi memaklumkan mengenai situasi yang berlaku ketika ini.

Saya ada berjumpa Ustaz Don sehari selepas memuat naik isu tersebut dalam aplikasi X. Saya maklumkan kepadanya semua tindakan ini untuk redakan situasi dan dia faham tentang posisi RTM.

“Ketiadaan Ustaz Don pun tidak mengganggu kelancaran program.

Setakat ini tiada sebarang isu penaja menarik diri dan sebagainya. Semuanya okey,” jelasnya.

Terdahulu, pada 5 Jun lalu, nama Don atau Don Daniyal Don Biyajid, 40, menjadi sebutan ekoran berkongsi kisah percintaan pertama Nabi Muhammad SAW yang didakwa bersandarkan cerita dan hadis palsu.

Perkara itu mencetuskan kemarahan orang ramai selain menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada pendakwah bebas terbabit.

Rentetan itu, dia direhatkan daripada menjadi hos Salam Baitullah.

Sementara, pada 6 Jun lalu, Jakim memberitahu akan memanggil Ustaz Don bagi mengadakan perbincangan serta mendapatkan penjelasan berhubung kontroversi yang melanda pendakwah terkenal itu.

Salam Baitullah merupakan rancangan tonggak RTM bersiaran setiap kali musim haji yang telah memasuki musim ke-16. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok