[VIDEO] Bebas di dunia, di akhirat menjawablah – Bapa Along Spoon

BAPA kepada penyanyi Allahyarham Along Spoon, Shafiee Mohd. Yusof mengakui sudah lama memaafkan individu yang membunuh anaknya sekitar 1999 lalu.

Meskipun masih sukar menerima cara kematian anaknya, Shafiee atau lebih mesra disapa Pak Engku, 75, tetap berusaha reda dengan takdir yang sudah ditetapkan Tuhan.

Saya sudah maafkan dia sejak dulu lagi dengan apa yang terjadi. Ini semua adalah ketentuan Allah SWT.

“Pada awalnya saya rasa tidak boleh terima tetapi itu kesilapan saya.

Selepas sekian lama saya cakap ‘Ya Allah, kaulah berkuasa dan aku terima segalanya’,” katanya kepada HibGlam, hari ini.

Ditanya sekiranya terbuka untuk berjumpa dengan pelaku, Pak Engku enggan berbuat demikian walaupun sudah memaafkan individu terbabit setelah sekian lama.

Saya tiada keinginan untuk berjumpa. Hati ini sudah terluka dan tak mahu terlibat dengannya.

“Tetapi saya tiada masalah dan terima kalau dia datang nak minta maaf.

Kalau saya sendiri nak jumpa dia, mungkin tidak payahlah,” ujarnya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Jalinan Kasih Prihatin KPJ Healthcare & mStar Baek, hari ini.

Pada masa sama, bapa kepada pemilik nama lengkap Sabi’ul Malik Shafiee itu menyerahkan segalanya kepada ketentuan Ilahi.

“Setakat ini dia tiada datang minta maaf. Tidak mengapa dia bebas di dunia tetapi esok di akhirat menjawablah.

Lagi pula, ajal maut ketentuan Allah. Kalau ikutkan saya sihat walafiat dan gagah perkasa, saya tunggu dia depan penjara,” jelasnya lagi.

Bekas anggota polis, Mohd. Ya’cob Demyati yang disabitkan dengan kesalahan membunuh penyanyi terkenal era 90-an, Along Spoon dibebaskan dari Penjara Kajang 16 November 2023 selepas selesai menjalani hukuman penjara 33 tahun.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Ya’cob yang merupakan anggota cawangan pengawal pengiring di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ketika itu, didakwa membunuh Sabi’ul Malik, 19, di tepi jalan di Kilometer 28 Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu, jam 1 pagi 26 Disember 1999.

Allahyarham Along yang popular dengan lagu Rindu Serindu Rindunya sebelum itu dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999.

Along Spoon dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999 sebelum polis menemui rangka manusia yang diikat dalam guni di lereng bukit di Jalan Kuala Klawang pada 6 Januari 2000. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok