TIDAK berdiam diri dituduh ‘songlap’ wang syarikat, suami penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL), Tiko Aryawardhana mendakwa bekas isterinya berbuat demikian disebabkan perasaan cemburu.
Menerusi peguamnya, pegawai di sebuah syarikat kewangan itu nafi melakukan penyelewengan duit syarikat dibina dengan bekas isteri, Arina Winarto berjumlah RM1.7 juta.
Peguam mewakili Tiko, Irfan Aghasar berkata, anak guamnya itu mendakwa wanita terbabit melaporkan kes tersebut gara-gara belum ‘move on’ selepas perpisahan mereka.
“Mungkin isu ini berkaitan dengan masalah rumah tangga antara mereka yang belum selesai meskipun sudah bercerai.
Saya boleh katakan mungkin dia (Arina) gagal ‘move on’. Melihatkan Tiko dan Bunga berbahagia, dia teruskan isu seperti ini.
“Persoalan peribadi seharusnya diselesaikan secara baik, tidak perlu seperti ini (lapor polis),” katanya kepada media.
Tiko dan Arina membina bisnes kulinari menerusi syarikat yang dikenali sebagai PT Arjuna Advaya Sanjaya (AAS) ketika mereka masih bergelar suami isteri.
Irfan turut menyatakan sebelum itu anak guamnya bersama bekas isteri sudah bersetuju menyelesaikan masalah dalaman syarikat secara baik, bukannya dibawa sehingga menjadi kes polis.
Bahkan menurut peguam terbabit, wujud butiran mengelirukan berkenaan jumlah wang yang dilaporkan hilang ketika Tiko memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan PT ASS.
“Dari segi laporan tentang penyelewengan duit sehingga Rp 6.9 miliar (RM1.7 juta), selepas disiasat polis, jumlah yang dinyatakan tidak mencecah angka dilaporkan.
“Jadi jumlah yang disebut juga sudah keliru dengan laporan polis dibuat dan klien saya tidak pernah tahu mengenai audit yang dilakukan, jika ada sila kemukakan.
Malah, pihak klien meminta agar jika kes ini dibicarakan secara terbuka kelak dia mahu bukti jelas semua perkara,” ujarnya lagi.
Tiko didakwa melakukan penyelewengan itu antara tahun 2015 sehingga 2021 ketika memegang jawatan tertinggi di perusahaan makanan dan minuman tersebut .
Bekas isterinya pula difahamkan sebagai pengeluar modal, selain pemegang majoriti saham syarikat terbabit. – HIBGLAM