Tiada sebarang kenyataan sampai notis lanjut – Suria FM

PIHAK stesen radio Suria FM yang menerbitkan rancangan atau segmen Don Give Up menampilkan Ustaz Don Daniyal belum memberi kata muktamad berkenaan penggantungan pendakwah itu daripada rancangan berkenaan.

Suria menerusi kenyataan ringkas kepada HibGlam  berkata, pihak mereka tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan sehinggalah notis selanjutnya.

“Berkenaan isu berhubung Ustaz Don, untuk sekarang Suria takkan keluarkan sebarang kenyataan sampai notis selanjutnya.

“Apa-apa kemas kini akan dimaklumkan dari masa ke masa,” ujar sumber dalaman stesen radio tersebut.

Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid terlibat dengan segmen Don Give Up yang diterbitkan Suria setiap hari Jumaat (8 pagi – 9 pagi) bersama kru Morning Morning Suria.

Terdahulu, Ustaz Don dilapor ‘direhatkan’ daripada program yang sinonim dengan musim ibadah haji, Salam Baitullah terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) ekoran beberapa kontroversi penyebaran hadis tidak bersumber.

Kelmarin, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengeluarkan status hadis riwayat cinta pertama Rasulullah SAW berkaitan kisah Ummu Hani’ di mana penceritaan Ustaz Don dianggap lemah dan hadis digunakan adalah tidak bersumber.

Bagaimanapun, Don mendakwa tidak dimaklumkan secara rasmi tentang keputusan direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah siaran RTM.

Menurut pengurusnya, Ana, pihaknya sehingga kini masih menanti arahan secara rasmi daripada pihak produksi sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok