DIDAKWA menyalahgunakan wang derma daripada orang awam untuk kegunaan peribadi, personaliti media sosial Farah Lee mengakui berkecil hati selain menafikan tuduhan tersebut.
Ujar Farah atau nama sebenarnya Farahin Romli, 31, dia tidak pernah mengambil sesen pun duit yang disumbangkan ke badan bukan kerajaan (NGO) Childrity, sebaliknya menyara hidup dengan hasil titik peluh sendiri.
“Kalau siapa pengikut tegar saya, pasti anda akan selalu nampak saya dedahkan pengurusan dana fl.childrity dari semasa ke semasa. Tiada apa yang saya nak sorok pun, semua saya letak telus dalam laman web.
Saya pergi misi Childrity pun tak pernah ambil satu sen elaun, mereka yang pernah pergi sekali dengan saya tahu saya kerja kuat macam mana.
“Saya bukan kerja uruskan NGO sahaja, banyak lagi penggambaran, kerja, bisnes lain saya buat untuk miliki kehidupan yang saya ada sekarang,” katanya menerusi satu hantaran dalam Instagram.
Enggan menunjuk-nunjuk, Farah berkata dia tidak suka meraih populariti seperti muncul dalam mana-mana program di televisyen atas kerja-kerja kebajikan yang dilakukan.
Memang ada orang buat NGO sebab nak senang kaya, tapi tak semua. Hari itu ada satu jenama nak bagi dana RM100,000, saya tolak sebab tak menang tangan nak uruskan.
“Tambahan pula nak adakan sidang media, saya pula tak suka nak dedahkan diri ini, keluar televisyen pun selalu tolak.
“Kalau saya kaki makan kos pengurusan, gilalah tolak jumlah sebesar itu dahlah keluar televisyen,” ujarnya.
Menjawab persoalan individu menerusi ruangan komen, Farah mendedahkan hanya sepuluh peratus yang digunakan untuk kos pengurusan daripada dana tersebut.
United Nation (UN) ambil lebih kurang 50 peratus tapi kalau awak periksa laporan kami, kami hanya ambil lebih kurang 10 peratus sahaja untuk kos pengurusan.
“Kami ada staf dan staf juga ada hak dibayar gaji untuk kelangsungan hidup mereka atas masa dan tenaga yang dikeluarkan untuk menguruskan NGO serta dana diberikan penderma,” tutupnya.
Terdahulu, meledak isu berkaitan pempengaruh dan usahawan, Aisyah Hijanah yang didakwa menyelewengkan wang dana daripada pertubuhan yang ditubuhkan.
Susulan itu, Farah yang aktif melakukan kerja kebajikan turut ditanya pemerhati laman sosial mengenai ketelusan mengelolakan NGO dan derma orang ramai. – HIBGLAM