DISEBABKAN enggan menanggung dosa dan bimbang azab di akhirat kelak, pempengaruh popular Dahlia Rizal akan mencuba sendiri produk sebelum bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana jenama.
Menurut Dahlia kesedaran itu timbul selepas dia menghadiri kelas agama bersama suaminya, pelakon, Imran Aqil baru-baru ini.
“Saya tidak mahu tanggung dosa dan takut di akhirat nanti. Dalam kelas agama itu, ustaz mengatakan saya akan mendapat dosa besar jika menipu dalam membuat ulasan (review).
“Contoh jika sesuatu produk itu tidak bagus atau makanan tidak sedap, tetapi saya menipu kata bagus. Bayangkan jika 100,000 orang yang beli produk atau makanan itu hanya kerana melihat ulasan yang saya lakukan.
“Saya akan mendapat dosa besar daripada setiap orang yang beli kerana saya. Dulu semasa muda tidak berfikir panjang dan kejar duit sahaja, sekarang saya sedar tanggungjawab seorang pempengaruh sangat besar,” kata Dahlia.
Dahlia yang ditemui pada majlis sidang akhbar pelantikannya sebagi duta terbaharu produk makanan kesihatan K-Colly di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Berbicara tentang pelantikannya sebagai duta K-Colly, Dahlia mendedahkan dia mencuba sendiri produk tersebut selama hampir dua bulan sebelum membuat keputusan untuk menjalinkan kerjasama dengan jenama popular itu.
“Saya tidak suka makan ubat dan tidak pernah mengamalkan sebarang suplemen untuk kulit wajah. Jadi, saya cuba sendiri dan lihat keberkesanannya sebelum bersetuju untuk jadi duta.
“Sebab produk suplemen kita makan akan masuk dalam badan, saya tidak akan promosi produk yang tidak selamat digunakan. Saya yakin K-Colly memang selamat untuk diamalkan sebagai makanan kesihatan tambahan untuk kulit,” jelas Dahlia.
Sementara itu, dalam sidang akhbar yang sama pihak K-Colly turut menegaskan pihak mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dua individu yang mendakwa produk K-Colly menjejaskan kesihatan sehingga buah pinggang mengecut dan meninggalkan komen berunsur fitnah.
Tuduhan itu telah dimuat naik dalam sebuah video yang telah tular di TikTok sehingga mencapai 2 juta jumlah tontonan pada Mei lalu selain komen fitnah tentang produk tersebut di Facebook.
Menurut Pengurus Besar K-Colly, Mohd Zulkifli Hussain tindakan ini diambil bagi membersihkan jenama yang sudah berada di pasaran sejak 13 tahun lalu.
“Pihak kami memandang serius akan perkara ini kerana telah menjejaskan kepercayaan pengguna produk K-Colly. Reputasi syarikat dan jualan produk turut terjejas.
“Walhal produk K-Colly telah menjalani pemeriksaan di makmal bertauliah dan melepasi ujian Sijil Analisis (COA) yang mengesahkan tiada pencemaran logam berat dan microbial (kuman) dalam produk kami,” kata Pengurus Besar K-Colly, Mohd Zulkifli Hussain.
Sementara itu, peguam yang mewakili K-Colly, Azreen Azmi dari Tetuan Adnan Sharida & Associates berkata pihaknya sedang kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menjalani siasatan secara terperinci terhadap dua individu tersebut.
“Pihak K-Colly telah pun membuat dua laporan polis di Balai Polis Pokok Sena, Kota Setar, Kedah dan perkara ini masih dalam siasatan pihak polis. Namun, di pihak K-Colly kami mahukan permohonan maaf daripada dua individu terbabit dan tuntutan ganti rugi.
“Pihak K-Colly juga dalam proses untuk mengeluarkan mengeluarkan surat tuntutan (letter of demand) selepas raya Aidiladha ini dan jika tiada kerjasama daripada pihak mereka kami akan memfailkan saman seterusnya membawa perkara ini ke mahkamah,” kata Azreen.
Dalam pada itu, Azreen turut memberi amaran kepada netizen agar berfikir panjang sebelum membuat sebarang tuduhan dan komen di platform media sosial. Andai tuduhan yang dibuat adalah fitnah sehingga menjejaskan reputasi jenama atau individu, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Pada majlis yang sama K-Colly turut menyalurkan sumbangan RM100,000 kepada Yayasan Nurjiwa untuk membantu rakyat Palestin selain mengagihkan 5,000 kilogram beras di persekitaran Masjid Al-Bukhary, Bukit Bintang Kuala Lumpur. – HIBLAM