Tak minta maaf macam mana nak maafkan? – Lufya

ENGGAN lagi terkesan dengan hal remeh- temeh, pelakon Lufya Omar mengakui dirinya kini lebih tenang menangani sebarang masalah.

Dihimpit pelbagai dugaan tahun lalu, Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 39, sudah berdamai dengan takdir selain mengambil pengajaran daripada setiap peristiwa.

“Berdamai dengan takdir itu maksudnya apa yang telah ditakdir Allah saya reda tetapi hal dunia ni antara saya dan Allah.

“Jadi siapa yang buat salah dengan saya, antara saya maafkan atau tidak itu urusan saya dengan Allah. Urusan dekat dunia wajib diselesaikan tapi tak selesai lagi.

“Biar benda ni tenang tak perlu saya bagi ‘spotlight’ dekat orang itu. Apa yang terjadi tahun lepas, jadi titik-tolak untuk saya lebih rileks,” katanya menerusi satu program hiburan.

Disoal sama ada boleh memaafkan pihak yang sering melukai hatinya dan anak, ibu kepada seorang cahaya mata itu mendedahkan dia tidak berbuat demikian kerana belum menerima sebarang permohonan maaf.

Pun begitu katanya, permohonan maaf itu perlulah ikhlas dan tidak digembar-gemburkan.

“Tak minta maaf macam mana nak maafkan? Kalau awak ada buat salah dekat orang kena minta maaf tapi itu antara saya dengan Allah lah.

“Tak payah bawa media atau kamera di belakang, itu lain. Dia kena ikhlas dan betulkan benda yang dah kacau bilau. Orang kalau ada usaha, kita sendiri tahu.

“Kita pun bukan orang yang kejam. Bila sesuatu kerosakan berlaku, awak nak perbaiki semua itu, nak jadi sempurna balik tak boleh tapi sekurang-kurangnya awak ada usaha,” ujarnya.

Mengulas tentang tuntutan mutaah sejumlah RM1 juta daripada bekas suami, Lufya bertindak untuk tidak berkongsi kerana proses masih berjalan.

“Proses ini bukan sekejap. Sebenarnya tuntutan itu dah lama tapi proses dekat Malaysia kena tunggu dan sabar. Ia masih berterusan, saya rasa tak perlulah nak kongsikan kepada umum,” tutupnya.

Lufya dan Dr. Che Hafiz mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Laana Haura yang kini berusia tujuh tahun.

Namun pasangan ini sah bercerai pada 17 Jun 2020 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam, Selangor. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok