Suria FM raih anugerah di Asia-Pacific Broadcasting 2024

RADIO Suria FM sekali lagi melakar sejarah di peringkat antarabangsa sebagai penerima trofi kategori Penstriman Radio Secara Langsung di Malaysia di Asia-Pacific Broadcasting 2024 baru-baru ini.

Pengurus besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau dikenali sebagai DJ Lin mengumumkan kejayaan tersebut tidak akan tercapai tanpa komitmen padu kaki tangan stesen radio serta para pendengar.

“Mewakili Suria FM, kami sangat bersyukur dan gembira di atas pengiktirafan ini.

“Saya percaya bahawa kejayaan ini adalah hasil usaha dan komitmen padu daripada seluruh pasukan di Suria FM yang sentiasa komited dalam menghasilkan produk serta kandungan yang berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, DJ Lin juga berterima kasih kepada para pendengar setia yang tidak pernah berhenti memberi sokongan terhadap Suria FM sejak tahun 2005.

“Tidak dilupakan juga kepada pendengar Suria FM yang sentiasa memberi inspirasi kepada kami untuk terus berinovasi dalam dunia penyiaran radio.

“Kejayaan ini tidak akan mungkin tercapai tanpa sokongan padu daripada anda semua,” katanya lagi.

Sekadar info, Anugerah Asia-Pacific Broadcasting+ bertujuan mengiktiraf inovasi dan kecemerlangan dalam projek yang memajukan industri penyiaran menerusi kandungan, inovasi dan digitalisasi.

Acara tersebut terbuka kepada semua syarikat penyiaran dan rakan kongsi industri di sekitar rantau Asia Pasifik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok