PEMINAT mahu dirinya kembali ke pangkuan bekas suami, penyanyi Adira Suhaimi mengakui sudah ‘move on’ selain tetap dengan pendirian untuk meneruskan kehidupan tanpa mengenang kisah lalu.
Ujar Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 33, dia lebih selesa menggalas status ‘bersahabat’ dengan Datuk Seri Adnan Abu demi anak-anak mereka.
“Kalau kami tidak ‘move on’ lagi, tidak adalah kami boleh berborak dan bergurau macam sekarang ini.
“Saya ini kalau tidak lupakan semua kepahitan, saya takkan berjumpa dengan orang itu. Sekarang ini komunikasi kami bagus dan dua-dua sudah jalan ke depan.
“Jangan cerita mengenai 10 tahun akan datang atau apa tapi buat masa sekarang ini kalau orang tanya rujuk atau apa, memang tidak ada sinar,” katanya menerusi siaran langsung dalam TikTok.
Dalam pada itu, lagu Pujaan Hati itu memberitahu, kehadiran Datuk Red ke rumahnya ketika dalam tempoh idah bukan sesuatu kesalahan kerana usahawan itu juga ingin menjenguk anak-anak.
“Datuk nak fokus menyelesaikan masalah dia, saya pula mahu besarkan anak-anak.
“Dalam tempoh idah memang dia boleh datang rumah tapi kalau sudah tidak dalam tempoh itu dan dia masih datang rumah itu baru pelik.
“Jadi memang tiada isu apa-apa, memang waktu idah tak ada yang pelik dia datang rumah ke apa, dia pun nak tengok anak dia,” katanya.
Adira dan Adnan berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.
Bagaimanapun ikatan perkahwinan yang termeteri selama sembilan tahun itu berakhir dengan perceraian pada 24 April lalu.
Pasangan itu dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayob yang kini berusia setahun.
Manakala pada 14 Mei lalu, Adnan turut menceraikan isteri pertamanya iaitu Sharifah Norshafila Hasim di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor. – HIBGLAM