Sibuk macam manapun, keluarga nombor 1 – Stacy

JADUAL kerja padat sejak menyertai program realiti, The Hardest Singing Show (THSS) menyukarkan Stacy menghabiskan masa dengan keluarga tersayang. 

Begitu pun, suri hati penyanyi Akim Ahmad itu tetap sentiasa berusaha mencuri waktu demi memenuhi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. 

Seboleh mungkin Stacy memastikan kerjaya dan peranannya dalam rumah tangga bergerak seiring.  

Tidak hanya itu, Stacy  kini fokus menghasilkan album baharu selain merancang mengadakan konsert sebaik sahaja program THSS selesai.

Berikut perkongsian Stacy mengenai rutin seni dan perancangan selanjutnya yang tentu sahaja akanmembuatkan pengikut setianya teruja. 

HIBGLAM: Bagaimanakah perjalanan kerjaya anda sekarang setelah menyertai THSS?

STACY: Sangat luar biasa. Awalnya saya fikir program ini dapat dijadikan platform untuk muncul dengan lagu dan album baharu. Tetapi, perkara sebaliknya berlaku kerana program ini (THSS) memerlukan komitmen 100 peratus. Boleh dikatakan saya dapat meneruskan beberapa perancangan lain, kerana bimbang akan mengganggu konsentrasi persembahan. Maklumlah, format program ini juga berbeza dengan pertandingan nyanyian lain. Jadi saya perlu sentiasa tampil dengan idea dan konsep yang segar agar dapat menambat hati juri.

Anda mengatakan THSS menuntut sepenuh tumpuan, bagaimana pula dengan tanggungjawab terhadap keluarga?

Biarpun sibuk, saya tetap menjaga hubungan kekeluarga agar tidak terputus. Saya juga sangat bersyukur apabila sudah terbiasa dengan rutin menari dan boleh dipelajari menerusi telefon. Mungkin kerana sudah terbiasa membuat persembahan tarian, jadi saya tidak ada masalah untuk mempelajari gerak tari dengan hanya menonton video. Saya juga berterima kasih kepada Izzy Musa yang bantu buat susunan muzik sepanjang menyertai THSS. Mudah bekerjasama dengannya kerana dia tahu apa yang saya mahukan.

Sebaik program ini selesai, apakah perancangan anda seterusnya?

Saya kini dalam proses mengeluarkan lagu baharu sebagai persediaan mengadakan konsert. Bukan sahaja lagu, malah saya turut merancang bikin album baharu. Mengikut perancangan awal, semua itu akan dilaksanakan tahun ini. Namun, disebabkan THSS saya terpaksa menunda dahulu perancangan itu ke satu tarikh lebih sesuai. 

THSS menuntut barisan peserta melakukan adegan aksi ekstrem sambil menyanyi. Adakah anda pernah mengalami sebarang kecederaan sepanjang persembahan?

Pihak stesen televisyen sangat mementingkan keselamatan setiap peserta. Sekiranya ada perkara dilihat  tidak sesuai atau akan mendatangkan kemudaratan, pihak stesen akan menasihati peserta untuk tidak melakukan aksi itu. Bagi saya latihan sangat penting untuk mengelakkan kemalangan atau berlaku perkara tidak diingini. Namun, kadangkala apa yang dirancang tidak berjalan seperti yang kita mahukan.  Pada persembahan minggu kelima misalnya, saya mengalami kecederaan pada jari apabila kulit terkoyak dan berdarah. Beberapa jari saya juga luka tanpa sedar. Saya sendiri tidak tahu bagaimana perkara itu boleh berlaku.  Selain itu, pernah juga saya jatuh tersembam sewaktu mendaki tangga apabila ditolak penari tanpa sengaja. Terkejut juga bila jadi tapi saya bersyukur kejadian itu tidak menjejaskan wajah saya atau mendatangkan kecederaan serius lain.  

Apa reaksi anda apabila peminat meletakkan harapan tinggi untuk melihat anda dijulang sebagai juara THSS

Itu sukar untuk saya jangka kerana setiap peserta mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing. Bagi saya pengalaman dan keseronokan menyertai program ini lebih bermakna. Besar harapan saya, peminat dan anak-anak dapat melihat lagi persembahan saya dalam tempoh 10 hingga 20 tahun daripada sekarang. Fokus saya lebih kepada ingin menunjukkan kepada anak-anak tentang perjalanan kerjaya seni saya dan bagaimana saya membuat persembahan. Malah, ini juga dapat memberikan kepuasan kepada peminat yang menyaksikan persembahan saya. Secara peribadi, saya sendiri suka buat persembahan dan ini antara peluang terbaik untuk melakukannya. Jadi saya mengambil pendekatan positif. Sekiranya menang, alhamdulillah. Jika sebaliknya itu semua kehendak Tuhan. Pada saya ini juga rezeki apabila dalam ramai artis saya antara yang berpeluang menyertai rancangan ini.

Stacy bersama suaminya, Akim Ahmad dan anak-anak tersayang yang kian membesar. – INSTAGRAM.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok