Si introvert yang bijak!

VARIETY show atau rancangan aneka ragam adalah sebahagian daripada hiburan utama di Korea Selatan yang menampilkan ramai selebriti.

Kebanyakan daripada mereka menyertai program popular tersebut berdasarkan interaksi, kecerdikan serta kemampuan berkomunikasi.

Antara nama yang pakar dalam rancangan variety ialah Jackson Wang, Chanyeol EXO, Jin BTS dan Seulgi Red Velvet.

Penampilan secara bersahaja meninggalkan kejutan buat penonton sekali gus kebijaksanaan mereka menyesuaikan diri dengan sebarang situasi dipuji khalayak.

Kebiasaannya mereka pendiam atau introvert, namun personaliti berbeza ditunjukkan dalam variety show. Daebak kali ini membawakan beberapa artis yang ‘introvert’ tetapi bijak bawa diri di mata audiens.

D.O EXO

PENYANYI kumpulan EXO, D.O merupakan antara idola K-pop yang sangat kelakar, bijak dan pandai bergurau.
D.O atau nama sebenarnya Doh Kyung-soo itu juga kompetitif tetapi tidak mengambil terlalu serius. Dia lebih suka mencari keseronokan dalam segala hal dilakukan.
Anggota kumpulannya yang lain juga salah faham mengenai D.O yang penakut pada mulanya.
Namun, dia tidak mengambil masa lama untuk menunjukkan sisi lain dirinya yang bijak menyesuaikan diri.
Tidak hairanlah penyanyi berusia 31 tahun itu merupakan seorang pelakon terbaik dalam industri Korea Selatan.

Mina Twice

DALAM kumpulan Twice, Mina merupakan seorang yang paling pendiam atau introvert berbanding ahli lain.
Walau bagaimanapun, penyanyi Jepun itu sangat bijak, hebat dalam cabaran dan mempunyai buah fikiran yang menakjubkan.
Kadangkala, dia sangat cemerlang dan tidak teragak-agak melakukan apa yang diperlukan untuk menang pertandingan.
Mina merupakan calon sempurna dalam rancangan variety show dan ramai yang tidak sabar menantikan kemunculannya yang akan datang.

Suga BTS

PENYANYI kumpulan BTS iaitu Suga merupakan antara idola K-pop yang dilihat sebagai seorang yang bijaksana.
Meskipun BTS kurang menampilkan diri dalam program variety show, mereka tetap mengambil bahagian.
Dari sisi lain dalam rancangan sedemikian iaitu Run BTS!, pemilik nama sebenar Min Yoon-gi aktif memberikan beberapa jawapan terbaik untuk semua soalan sehingga membuatkan semua orang tercengang.
Ini juga dapat dilihat menerusi temu bual di luar negara apabila Suga sering mencapai mikrofon untuk menjawab soalan bagi pihak BTS.

T.O.P BigBang

RAMAI yang berharap kumpulan BigBang membuat kemunculan semula untuk melihat ahli-ahli bersama-sama dalam rancangan variety show.

Hal tersebut lebih tertumpu kepada T.O.P yang merupakan anggota paling introvert tetapi sangat bijak melontarkan idea bernasnya.

Setiap butiran kata pemilik nama asal Choi Seung-hyun itu dianggap sebagai hadiah kepada peminat.
Dia juga mempunyai sisi lelucon yang unik sekali gus menjadikannya sangat sesuai untuk rancangan berkonsep sama.

Sohee Wonder Girls

AHLI kumpulan Wonder Girls iaitu Sohee adalah seorang penghibur yang sering melakukan perkara kecil tetapi sangat menarik perhatian ramai.
Memandangkan dia jenis yang suka memerhati (observant), orang ramai memberikan jangkaan lebih ketika dia mahu membuka mulut memberikan pendapat.
Sifat ini juga membantunya dalam permainan dan cabaran rancangan variety show.
Dalam salah satu episod Running Man, pemilik nama lengkap Ahn So-hee itu menunjukkan kepakarannya sehingga menjadi pemenang di hati audiens. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok