PENGARAH Syafiq Yusof menyifatkan kegagalan filem aksi arahannya, Sheriff: Narko Integriti gagal mendapat perhatian di Indonesia adalah disebabkan kegagalannya sendiri.
Syafiq, 31, berkata, orang ramai tidak seharusnya mencetuskan sentimen kenegaraan atau menuding jari pada mana-mana pihak terutama rakyat Indonesia atas kegagalan tersebut.
“Sentimen yang mengatakan filem Sheriff tidak laku di Indonesia kerana mereka tidak sokong filem Malaysia adalah 100 peratus tidak benar.
Kegagalan filem Sheriff di Indonesia adalah kegagalan saya sendiri. Tidak harus persalahkan sesiapa,” katanya dalam platform X.
Ujarnya, rakyat dan pencinta filem di negara jiran itu mempunyai hak serta citarasa tersendiri dalam memilih naskhah untuk ditonton di pawagam.
Dengan rendah diri, dia turut berkata filemnya tidak sehebat naskhah Indonesia yang disifatkan mempunyai kualiti lebih hebat.
Rakyat Indonesia berhak untuk memilih filem yang ingin ditonton.
“Saya akui Sheriff masih jauh ketinggalan kalau dibandingkan dengan filem-filem aksi Indonesia.
Sekiranya sesebuah filem itu tidak laku di sesebuah tempat, itu bukan salah penonton tetapi salah pembikin,” ujarnya.
Dalam perkongsian sama, anak kepada penerbit terkemuka, Datuk Yusof Haslam itu memikul tanggungjawab Sheriff yang gagal untuk meraih kutipan tinggi di Indonesia selain berjanji untuk menambah baik mutu naskhah arahannya.
“Saya yang harus bertanggungjawab atas kegagalan ini dan harus terus berusaha untuk memperbaiki kualiti filem saya pada masa depan.
“Saya berterima kasih kepada negara Indonesia kerana memberi peluang untuk filem Sheriff ditayangkan di sana,” katanya lagi.
Baru-baru ini, Syafiq mendedahkan tayangan Sheriff di pawagam di Indonesia diturunkan secara drastik namun dia tetap positif dengan perkara tersebut.
Difahamkan, Sheriff terbitan Skop Production dan Astro Shaw itu ditayangkan di pawagam Indonesia bermula 22 Mei lalu.
Setakat ini, filem lakonan hebat Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Azira Shafinaz, Datuk Aaron Aziz dan Elizabeth Tan itu berjaya meraih kutipan RM65 juta di Malaysia sejak mula ditayangkan pada 18 April lalu. – HIBGLAM