Setahun tak baca komen, Hafidz Roshdi jaga kesihatan mental

DEMI menjaga kesihatan mental, pelakon Hafidz Roshdi mengambil pendekatan tidak membaca komen dalam laman sosial sejak setahun lalu.

Kata Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, dia hanya berlapang dada berdepan kecaman yang turut dilemparkan terhadap ibu bapa serta isterinya, Athira Yuhada.

“Sebenarnya saya reda dengan kritikan dan tohmahan yang dilemparkan kepada kami sekeluarga walaupun tidak membacanya.

Alhamdulillah, isteri faham dan tidak melatah apabila turut menjadi mangsa kerana suka atau tidak ini asam garam yang perlu dilalui apabila berada dalam bidang seni.

“Selagi boleh bertahan kita tempuh sahaja, jadi saya ambil pendekatan tidak perlu baca komen. Itu sahaja,” katanya kepada HibGlam.

Begitupun, pelakon drama Melastik ke Hatimu itu enggan mengambil tindakan undang-undang terhadap netizen yang melemparkan tohmahan kerana memahami mereka tidak mengetahui perkara sebenar.

Menurut Hafidz lagi, dia mengelak bertegang leher dengan segelintir individu dalam laman sosial bagi mengelakkan keadaan semakin keruh.

Bagi saya, kalau orang sudah tak suka mereka akan sentiasa mencari silap kita biar apa pun maklum balas diberi. Jadi,  tiada guna saya bersoal jawab dengan mereka.

“Anggap sahaja ini semua lumrah kehidupan, tak semua orang suka, namun tak sedikit pun situasi begini pengaruhi saya untuk tinggalkan dunia lakonan,” ujarnya.

Bapa kepada dua anak itu bagaimanapun mengakui terkilan apabila ibunya, Haniza Mohd. Jabar berulang kali menjadi bahan tohmahan biarpun tiada kena mengena dalam kontroversi membabitkan dirinya.

“Kalau saya sahaja dijadikan sasaran kutukan tidak mengapa, tetapi ibu saya pula terheret sama dengan pelbagai fitnah.

Sebagai anak sudah tentu saya sedih melihat insan yang membesarkan saya diperlakukan sebegitu, tetapi saya tak berhasrat ambil tindakan,” ujarnya.

Hafidz turut  mengakui tidak mengetahui wajah isterinya dijadikan bahan ‘face shaming’, namun menyedari tindakannya menari bersama Athira dikecam ramai.

Soal wajah isteri jadi bahan ejekan saya tak tahu tapi saya maklum teguran netizen yang kurang berkenan melihat kami menari dalam TikTok, jadi saya cuba kurangkan,” katanya.

Hafidz mendirikan rumah tangga dengan Athira yang juga perunding insuran merangkap penyanyi koir pada 16 Disember 2023.

Sebelum ini, aktor tersebut berkahwin dengan Nurul Shuhada, pada 30 April 2016 namun bercerai pada 27 Julai tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup, pasangan terbabit dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 6 dan Umar, 3.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok