SELEPAS selesai tempoh berpantang, penyanyi Shila Amzah mengakui stamina dan kemampuan fizikalnya tidak lagi selincah seperti dahulu, terutama ketika bersukan.
Shila atau nama sebenarnya Norshahila Amir Amzah, 34, menyedari situasi tersebut selepas melakukan aktiviti bermain badminton apabila mudah penat dan seperti segala sendi tubuhnya terasa longgar.
Terujanya dapat main badminton balik tetapi bila baru lepas beranak, semua sendi terasa longgar.
“Baru latihan tenis petang tadi pun sudah tidak rasa lutut,” katanya menerusi aplikasi X.
Kongsinya lagi, situasi tersebut berlaku akibat lama berehat selepas hamil dan bersalin.
Ini disebabkan hormon relaksin, lebih kurang setahun baru boleh kembali normal.
“Saya rasa kena pakai ‘knee guard’ (pelindung lutut) untuk keselamatan,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, pelantun lagu Patah Seribu itu mencetuskan kerisauan peminat apabila dilihat kembali lincah beraksi di pentas nyanyian sebelum tempoh berpantang tamat.
Shila dan suami, Ubai MZ mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 2023 dan dikurniakan cahaya mata pertama, Rhea Akira pada 9 Mei lalu.
Terdahulu, Shila pernah berkahwin dengan Haris Idraki Elias namun bercerai pada 8 Februari 2022 selepas empat tahun bersama.
Hasil perkahwinan tersebut, Shila dan Haris dikurniakan seorang anak lelaki bernama Seth Uwais. – HIBGLAM