PENYANYI Hafiz Suip meluahkan rasa terkilan dan kecewa terhadap individu yang menyebarkan fitnah mengenai dirinya.
Menerusi perkongsian terkininya dalam aplikasi TikTok, Haifz atau Mohd Hafiz Mohd Suip, 34, berkata, mereka yang rapat dengannya lebih mengenali siapa dirinya yang sebenar.
“Assalamualaikum semua. Nak bagi tahu mereka ini sama dengan aku dari sekolah sampai sekarang.
“Mereka tidak bersangka buruk atau tuduh aku yang bukan-bukan sebab mereka kenal aku siapa.
“Jadi korang (kalian) apa yang cerita? Sempat ke nak minta maaf depan-depan nanti?” tulisnya di aplikasi TikTok.
Penyanyi lagu Kisah Cinta Kita itu turut berkongsi gambar bersama beberapa individu yang dipercayai kenalan rapatnya.
Meninjau ruangan komen perkongsian itu, rata-rata pengguna media sosial menzahirkan sokongan kepada Hafiz selain memintanya kembali aktif menyanyi.
“Harap ada komposer terbaik boleh menghasilkan lagu untuk Hafiz. Mungkin lagu-lagu ketuhanan.
“Apa-apa pun kembali semula menyanyi kerana Hafiz berbakat besar.
“Saya mendoakan semoga Hafiz tenang dan kuat semangat meneruskan semula kerjaya nyanyian,” tulis pengikutnya dalam ruangan komen.
Terdahulu, Hafiz menyahaktifkan akaun Instagram miliknya pada 16 Mei lalu.
Berikutan itu timbul spekulasi rumah tangganya dengan isteri, Nureffy Jesreel Abdullah bermasalah malah ada dakwaaan mereka sudah bercerai.
Lebih mengejutkan, Hafiz menganggap dirinya sudah tidak relevan sebagai penyanyi. – HIBGLAM