SELAKU vokalis kumpulan rock legenda Wings dan pelakon yang sering mencuit hati penonton, Datuk Awie kekal di papan atas, figura yang amat disegani dalam industri seni sementelah miliki pengalaman empat dekad lamanya.
Meski terlihat sudah ‘masak’ dengan asam garam dunia hiburan, hakikatnya pemilik nama sebenar, Ahmad Azhar Othman, 56, menyifatkan bukan mudah untuk menjadi seorang anak seni.
Biar berderet anugerah dan pencapaian berjaya digenggam, namun tugas selaku seorang penyanyi dan pelakon menyebabkan Awie terpaksa berkorban dan terlepas banyak perkara dalam hidupnya.
Selain berkorban masa dan kasih sayang, orang tidak tahu kesedihan yang dibawa ketika saya menyanyi di atas pentas.
“Sebagai penghibur walaupun saya sedih, saya tetap perlu menyanyi, tersenyum dan menghiburkan peminat,” tutur Awie.
Akui Awie, momen paling gelap dalam hidupnya adalah sewaktu arwah ibunya, Azizah Abd. Hamid meninggal dunia pada Disember 2014.
Ketika itu, Awie sedang sibuk dengan pementasan teater Takhta 3 Ratu, terbitan dan arahan Erma Fatima.
Momen paling saya tidak dapat lupakan adalah ketika arwah ibu meninggal dunia. Arwah ibu meninggal dunia hari ini, saya diberi rehat sehari untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak.
“Esoknya, saya perlu naik ke atas pentas dan menghiburkan penonton. Bayangkan emosi saya ketika itu yang belum stabil, tetapi perlu bekerja dan tersenyum kerana tugas,” kongsi Awie.
Justeru, Awie terpanggil untuk mengetengahkan isu keluhan seorang anak seni dalam konsert solo terakhirnya, Journey Awie yang akan berlangsung di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumput pada 3 Ogos nanti.
Penyanyi, pelakon dan penghibur juga seorang manusia biasa yang ada hati dan perasaan.
“Tidak ada orang yang tahu cabaran dan pengorbanan yang perlu dilakukan demi menghiburkan orang ramai.
Saya sendiri ketika sakit akibat santau dan kesihatan terganggu kerana ada tumor buah pinggang, selain masalah kaki bengkak, sewaktu di atas pentas tiada orang yang tahu saya sedang sakit, itulah pengorbanan.
“Saya bukan mahu menagih simpati tetapi hanya mahu kenang dan beritahu penonton, supaya ada sedikit perhatian tentang perasaan seorang anak seni,” tutur Awie.
Berbicara tentang konsert Journey Awie, bintang filem Hantu Kak Limah Balik Rumah itu menjelaskan, persiapan kali ini berbeza mengikut konsep yang ingin diketengahkan.
Untuk Journey Awie, konsepnya adalah kombinasi monolog dan persembahan teaterikal sempena 30 tahun perjalanan karier solo Awie.
Seratus peratus idea untuk konsert solo ini datangnya daripada saya. Saya harus memilih lagu dan konsep. Berbeza jika persiapan konsert kumpulan Wings yang pasukannya lebih besar.
“Biasanya saya akan serahkan soal pemilihan lagu kepada anggota lain dan buat pemeriksaan pada saat akhir sahaja. Tetapi konsert solo semuanya saya buat sendiri, jadi kerja lebih banyak,” kata Awie.
Sambung Awie, selain pendedahkan ‘rahsianya’ menerusi lakonan dan segmen ‘tribute’ konsert selama dua jam setengah tersebut akan dihiburkan Awie secara solo tanpa seorang pun penyanyi jemputan.
Bukan tidak mahu undang penyanyi lain, tetapi bagi saya lebih puas dan fokus jika penonton beri perhatian kepada saya seorang.
“Tambahan pemuzik yang akan mengiringi konsert saya kali ini adalah yang terbaik di Malaysia iaitu Rozario selaku pengarah muzik bersama Ujang, Riz, Fly, Paan dan Addy Cradle,” jelasnya.
Dalam pada itu, penjualan tiket konsert solonya mendapat sambutan hangat apabila beberapa kategori iaitu Silver, Gold dan Platinum telah habis dijual sehingga menyebabkan pihak penganjur TruePixel Sdn. Bhd. terpaksa menambah kategori baharu iaitu Ruby.
“Apa yang pasti saya mahu penonton yang datang, pulang dengan rasa puas hati dan gembira dengan konsert solo terakhir saya.
“Sekarang saya telah mula menjalani latihan. Mulanya terdapat 60 buah lagu yang dipilih tetapi dikurangkan menjadi sekitar 36 buah lagu. Selepas ini tiada lagi konsert solo saya sebaliknya semua akan bersama Wings sahaja,” tutur Awie. – HIBGLAM
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.