Saya tak cemburukan Anna Jobling – Haneesya Hanee

MELIHAT jerih-perih perjalanan bintang muda, Haneesya Hanee membina nama dalam industri seni  tidak seindah dibayangkan.

Terlebih dahulu berpengalaman di pentas peragaan, Haneesya juga hampir hilang segala reputasi saat berdepan tular video bersosial di kelab malam sehingga tiara kemenangannya sebagai juara Dewi Remaja 2018/2019 dilucutkan begitu sahaja.

Sejak detik itu juga, tawaran kerjanya terumbang-ambing sehingga sukar menempatkan nama dalam industri seni walaupun berbakat sebagai pelakon. 

Baru-baru ini pula, dia sekali lagi dikecam teruk dek pengakuan hidup susah, ibunya terpaksa menggadai barang kemas demi kelangsungan hidup. 

Dihina diperlekehkan, Haneesya enggan cepat melatah walaupun ramai yang menasihatinya untuk mencari kerja tetap lain agar tidak perlu menyusahkan ibu sendiri. 

“Saya kurang melenting sekarang dan lebih menerima hakikat bahawa netizen malas membaca dan hanya menilai dari tajuk berita. 

“Apabila saya cakap tiada ‘job’ maksudnya dalam bidang lakonan sebab saya masih bekerja. 

“Orang yang sebegitu saya maafkan. Untuk pengetahuan, mak saya gadai barang kemas bukan hari-hari tetapi untuk ‘rolling’ duit kerana ada hari yang agak bergelut. 

“Beli jual barang kemas bukan tindakan bodoh atau buka aib. Itu satu aset untuk masa depan. 

“Lagi pun, barang kemas tersebut pemberian saya yang sudah bekerja keras sebelum ini dan bukan pembelian sia-sia. Ada nilainya yang kita boleh labur semula,” katanya kepada Pose.

Selain lakonan, pemilik nama lengkap Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan itu turut menyedari pekerjaan sebagai pempengaruh dan bidang peragaan agak terkesan sehingga dia cuba mencari punca bagaimana permasalahan tersebut boleh terjadi.

“Sejak 2022, saya perasan tawaran kerja reviu produk dan peragaan semakin berkurang sampai ada satu tahap saya rasa macam kena penyakit ain. 

“Saya pun pergi berubat, berjumpa ustaz sebab pelik. Orang tahu nama saya ada dalam industri tetapi bila jumpa mereka cakap lupa nak jemput saya ke sesebuah majlis,” ujarnya. 

Bagaimanapun, Haneesya akur dan reda sekiranya semuanya terjadi atas kekhilafan yang pernah dilakukan sebelum ini. 

“Saya pernah buat uji kaji dengan kawan baik saya. Selama ini orang tidak pernah tahu saya jadi ‘plus one’ dia dan dia tolong saya atas dasar nak orang kenali saya balik. 

“Kadang-kadang rasa malu juga sebab saya pelakon, menang anugerah tetapi jadi ‘plus one’ kawan baik sahaja tetapi saya diam. 

“Saya tahu pernah buat salah dan ini mungkin hukuman yang saya kena lalui dan berlapang dada,” tutur pelakon berusia 24 tahun itu. 

Anna Jobling

Sempat penulis selit soalan kisah persahabatannya dengan Anna Jobling yang sering menjadi tajuk perbandingan netizen. 

SERING dibandingkan dengan Anna Jobling, Haneesya tidak selesa dan meminta netizen berhenti daripada berbuat demikian. – Baju GAZLAN, NAOMI LARRA

Cicit kepada seniwati Allahyarham Zaharah Agus itu bagaimanapun meminta netizen berhenti berbuat demikian kerana dia sendiri tidak pernah membencikan Anna. 

“Saya tidak okey bila orang bandingkan saya dengan Anna Jobling dan bolehlah berhenti berbuat demikian. Dahulu masa dalam Dewi Remaja memang kami sangat rapat. 

“Sejak kejadian (video dalam kelab), saya tidak pernah keluar kenyataan bahawa Anna yang khianati atau dedahkan saya. 

“Saya tahu siapa yang buat cuma tak cukup bukti untuk menuduh tetapi kalau suatu hari dia mengaku terpulang. Saya maafkan dia,” jelasnya. 

Haneesya bagaimanapun sedar soal rezeki yang telah Allah tetapkan.

“Cuma apabila orang melagakan saya dengan Anna, saya rasa perkara itu menjengkelkan dan tidak wajar. 

“Orang tiada masalah tetapi awak melagakan orang lain. Siap bandingkan kejayaan Anna dengan saya. Saya sendiri pun tidak cemburu dengan dia. 

“Kalau Anna berjaya, bagus untuk dia dan saya pun turut gembira, Allah bagi rezeki untuk dia dulu. Mungkin rezeki saya lambat, kita pun tidak tahu apa akan jadi masa depan,” ujarnya dengan senyuman. 

Ditanya, adakah masih wujud persahabatan bersama Anna, anak sulung daripada tiga beradik itu mengakui tidak lagi berhubung dengan bintang Melur Untuk Firdaus sejak kontroversi lama. 

“Kejadian tersebut menyebabkan kami renggang. Kami juga sudah lama tidak berhubung. 

“Ada banyak salah faham dan kami sendiri tidak pernah duduk untuk berbincang. 

“Sekarang saya pun dah 24 tahun, saya maafkan semua yang terlibat atau tidak dalam kes tersebut. Sekiranya ada kerja bersama, saya akan profesional dan fokus kerja,” tutupnya. 

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok