Saya bukan anak kecil yang kamu boleh buli – Aisyah Hijanah

USAHAWAN dan pempengaruh Aisyah Hijanah menafikan dakwaan telah memecat pekerja yang mempertikai audit syarikat.

Aisyah atau Aisyah Hijanah Azhari, 29, menegaskan,perkara tersebut tidak berlaku sebaliknya pekerja itu diberhentikan atas kesalahan di tempat kerja.

“Setakat ini belum pernah ada pekerja Hijanah dibuang kerja 24 jam akibat mempersoalkan audit syarikat.

“Pernah ada bekas pekerja Hijanah yang dibuang tetapi kerana isu dalaman pekerja itu sendiri dan bukanlah soal audit seperti yang didakwa,” katanya dalam satu perkongsian dalam Instagram.

Aisyah memberi reaksi demikian apabila timbul dakwaan mengatakan dia telah memecat pekerja secara mendadak kerana mempertikaikan audit syarikat.

Dalam pada itu, Aisyah turut menegaskan dakwaan pihak terbabit tidak berasas dan minta identiti pekerja yang dimaksudkan didedahkan.

“Apa yang didakwa di laman berkenaan satu  fitnah. Saya berbesar hati untuk mengetahui siapakah bekas pekerja tersebut.

“Berkaitan pembekal tudung Hijanah, pembekal yang saya berurusan bukan di Malaysia sahaja tetapi melibatkan dari luar negara.

“Pengeluaran tudung Hijanah adalah produksi yang besar dan tidak dilakukan di Malaysia,” katanya.

Tidak hanya itu, Aisyah juga terbuka sama ada orang ramai mahu mempercayai atau tidak tentang kesahihan kutipan derma yang dilakukan.

“Bagi sesiapa yang mahu menyumbang, silakan. Bagi yang sudah tidak percaya, saya tidak memaksa.

“Kepada laman berkenaan, saya tidak tahu siapa tetapi saya bukan anak kecil yang kamu boleh buli sewenang-wenangnya.

“Memang saya dilihat lembut tetapi lembut tidak bermakna lemah. Saya akan lawan untuk mempertahankan hak saya,” jelasnya.

Terdahulu, tular di Facebook mendakwa Aisyah membuat kutipan derma untuk tujuan kepentingan peribadi.

Akaun tersebut turut memberitahu personaliti media sosial itu itu sanggup mencipta kontroversi dimadukan oleh suaminya untuk mencari publisiti. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok