Rugi kalau tak mahu anak – Ellie Suriaty

PELAKON Ellie Suriaty berpendapat isu ‘childfree’ atau pasangan berkahwin yang enggan memiliki zuriat berpunca daripada masalah kegawatan ekonomi lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun kata Ellie atau Ellie Suriaty Omar, 53, pasangan yang enggan menimang cahaya mata disebabkan ingin bebas daripada komitmen akan berasa rugi.

“Perkara ini subjektif. Kemungkinan terjadi disebabkan ekonomi zaman sekarang terutama yang tinggal di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

“Mungkin ekonomi di kampung masih okey tetapi apabila bercakap mengenai bandar besar membuatkan pasangan muda ambil keputusan untuk ‘childfree’.

“Namun, bagi saya soal zuriat semuanya rezeki daripada Allah. Jadi, satu kerugian sekiranya tidak mahukan anak melainkan pasangan terbabit ada alasan kukuh untuk berbuat demikian,” katanya dalam temu bual bersama media.

Dalam masa sama, pelakon filem Memoir Seorang Guru itu berharap pasangan yang memilih untuk tidak memiliki zuriat akan berubah fikiran satu hari nanti.

“Mungkin pada masa akan datang mereka akan ubah fikiran kerana manusia suka berubah-ubah.

“Perancangan keluarganya sekarang adalah ini (childfree) tetapi boleh diubah pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Mutakhir ini, tular dalam aplikasi X mengenai isu ‘childfree’ dan hangat diperdebatkan orang ramai.

Menurut laporan Kosmo! Online, sejak pandemik Covid-19, ada pasangan suami isteri memilih untuk tidak memiliki cahaya mata terutama golongan muda.

Antara alasan yang diberikan adalah tidak bersedia bergelar ibu bapa, selesa hidup berdua dengan pasangan dan kenaikan kos sara hidup. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok