Rossa, Dayang Nurfaizah impi berduet di JB

BUKAN mudah untuk menyaksikan penyanyi tersohor Malaysia dan Indonesia berada di satu pentas yang sama.

Kedengaran mustahil tetapi itu yang dijanjikan penganjur Mega Eve Sdn. Bhd. untuk Konsert Divas & Diamonds 2024 yang bakal membariskan empat nama besar iaitu Datuk Jamal Abdillah, Datuk Seri Rossa, Dayang Nurfaizah dan Joe Flizzow.

Kelainan kali ini adalah konsert mega yang bakal berlangsung pada 7 September tersebut akan dipentaskan di Arena Larkin, Johor Bahru, Johor.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Farhan Razali, menyatukan semua penyanyi bukan satu tugas yang mudah tetapi itu kelainan yang ingin diberikan kepada penonton.

KALI terakhir Rossa menghiburkan peminatnya di Johor adalah kira-kira 10 tahun lalu.

Bahkan, dia juga yakin dengan penganjuran konsert kali ini ditambah pula setiap penyanyi mempunyai lagu yang popular dan kelompok peminat masing-masing.

“Seperti yang kita tahu, ‘diva’ adalah orang yang mempunyai bakat yang luar biasa, sangat dihormati dan diraikan sebagai yang terbaik.

“Kami yakin bahawa barisan kami untuk konsert ini akan bersinar seperti berlian dengan lagu-lagu dan persembahan mereka pada malam tersebut,” katanya.

Lebih menarik, lima peratus daripada hasil kutipan konsert tersebut akan disalurkan untuk tabung kemanusiaan Palestin.

Ujar Farhan, syarikatnya akan terus menyokong usaha kerajaan dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin dengan melaksanakan pelbagai acara pada masa akan datang.

Sebanyak lima peratus daripada hasil tiket akan disalurkan bagi menyokong bantuan di Palestin.

“Sumbangan ini akan diserahkan terus kepada pegawai kedutaan Palestin untuk membantu saudara dan saudari kita di sana,” jelasnya.

Sementara itu, Rossa mengakui menerima tawaran untuk menjayakan konsert ini kerana merindui para peminat di Johor Bahru.

Sudah pastinya kemeriahan di sana berbeza. Setelah hampir sedekad tidak mengunjungi Johor, saya tak akan lepaskan peluang dan tidak sabar untuk membuat persembahan di sana.

“Saya akan menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu popular. Kalau diberikan kesempatan, saya mahu juga berduet dengan Dayang Nurfaizah,” tuturnya.

DAYANG teruja dapat berkongsi pentas dengan Jamal, Rossa dan Joe Flizzow.

Bagi Dayang pula, peluang tersebut merupakan satu penghormatan untuk berkongsi pentas bersama Rossa dan Jamal Abdillah serta Joe Flizzow.

Konsert ini ibarat satu penghormatan kepada saya yang paling junior dalam kalangan mereka.

“Memang teruja hendak hiburkan peminat di Johor sebab selalunya konsert diadakan di Kuala Lumpur.

Ditambah pula, berkongsi pentas dengan Rossa dan Jamal merupakan sesuatu yang tak pernah saya lakukan sebelum ini, jadi peluang ini hebat dan istimewa,” ujarnya teruja.

Ditanya tentang persiapan, Dayang enggan menabur sebarang janji tetapi dia mengimpikan untuk berduet bersama Rossa.

Apabila dia cakap nak duet dengan saya, saya teruja. Tak sangka dia kenal saya,” ujarnya lagi.

Harga tiket untuk Divas & Diamonds bermula RM288 hingga RM888 dan boleh dibeli melalui laman web Ticket2u.com. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok