“BAHAGIA dan gembira,” itu ungkapan ringkas yang diungkapkan pelakon Riena Diana apabila ditebak tentang perasaannya sejak menjalinkan hubungan cinta bersama aktor Keith Foo.
Sambil senyuman meleret di bibirnya, Riena atau nama sebenarnya Nur Qamarina Diana Zulreal, 27, mengakui mereka kini di fasa mengenali hati budi.
Biarpun hubungan yang mula terjalin di set penggambaran drama Salju Rindu masih terlalu awal sekitar sebulan lebih, pasangan merpati dua sejoli itu memilih untuk tidak menyembunyikan percintaan mereka daripada umum.
Sejujurnya, saya tidak ada perancangan untuk beritahu kerana kami masih sedang dalam proses mengenali hati budi.
“Tetapi ketika ke majlis ulang tahun perkahwinan Janna Nick, pihak media nampak dan sebagai artis saya tidak akan lari. Mereka (media) bertanya, jadi saya beritahu apa yang sepatutnya secara profesional.
Cuma buat masa ini, saya takut untuk melabelkan hubungan kami kerana masih terlalu baru. Saya sendiri tidak tahu apa akan jadi pada masa depan. Apa pun saya berharap semua dapat mendoakan yang baik-baik untuk saya,” ujar Riena.
Terbenih cinta di set penggambaran, Riena bagaimanapun bertegas hubungan mereka bukanlah cinta lokasi yang selalunya bersifat sementara.
Sebaliknya, keserasian antara mereka menyebabkan hubungan yang bermula sekadar rakan artis bertukar menjadi teman istimewa.
“Sebenarnya tiada sebarang cinta lokasi kerana kami di set penggambaran sangat profesional. Apa yang saya sedar, selepas beberapa minggu bekerjasama, kami memiliki banyak persamaan.
“Selepas hubungan terjalin lebih dalam, kami sangat serasi. Kami berkongsi banyak hal yang sama seperti benda yang saya suka dan tidak suka.
“Malah, Keith Foo juga seorang yang gila-gila dan suka bergosip. Dia adalah Riena versi lelaki (ketawa), jadi mungkin sebab itu kami sangat selesa berkawan rapat. Dia juga seorang lelaki yang caring (penyayang) dan gentleman (budiman),” kongsi Riena lagi.
Jodoh
Putus tunang sekitar Disember 2022, Rina sebenarnya tidak menyangka pintu hatinya akan kembali terbuka menerima cinta secepat ini.
Sungguhpun hubungan mereka masih terlalu baharu, namun kemesraan dan proses yang dilalui dalam percintaan mereka dianggap terlalu cepat.
Dalam tempoh sebulan lebih berkenalan, Riena telah pun bertemu dengan keluarga besar Keith pada majlis ulang tahun kelahiran anak tunggalnya, Skylar Raymond Foo yang kini berusia tujuh tahun.
Sebenarnya, Keith Foo yang menjemput saya ke majlis ulang tahun anaknya dan di sana saya berkenalan dengan keluarga besarnya.
“Alhamdulillah, semuanya okey tetapi setakat ini belum ada apa-apa yang ingin diumumkan. Saya mahu hubungan ini berjalan secara semula jadi.
“Saya juga perlu menghormati keluarga saya. Doakan yang terbaik, jika ada jodoh antara kami,” tutur pelakon yang popular dengan drama Kampung People itu lagi.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan.