Rasya Dean suka jadi jahat

PERNAH gagal meraih tempat dalam senarai finalis Dewi Remaja 2018/2019, pendatang baharu, Rasya Dean hampir putus asa. Fikirnya, dia tidak akan berkesempatan bergelar pelakon.

Memandangkan ketika itu dia berada di tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan Perdagangan di MSU College, Rasya membulatkan hati fokus menyempurnakan pengajian.

Tamat pengajian, Rasya bekerja di sebuah syarikat kewangan dan meneruskan rutin hariannya seperti biasa. Namun, tiada siapa menyangka pintu harapan menyertai dunia seni tiba-tiba terbuka luas.

Secara perlahan-lahan pemilik nama lengkap Rasya Sofea Mohamed Nasurdin itu mengatur langkah sebagai pelakon.

KEHADIRAN Rasya sebagai pelakon semakin disedari khalayak selepas membintangi beberapa buah drama popular antaranya Khunsa, Malang Si Puteri dan Kiblat Ke Syurga.

“Sejak kecil saya memang berminat untuk jadi pelakon. Awalnya telahan saya, Dewi Remaja dapat menjadi batu loncatan untuk masuk ke dalam industri hiburan.

“Tetapi, nyata belum ada rezeki buat saya lagi waktu itu. Jadi saya pilih untuk mencari kerja dan pada masa sama cari peluang jadi pelakon.

“Waktu itu saya sangat bersyukur kerana syarikat memberi kebenaran untuk berlakon sambil bekerja.

“Namun, sekitar tiga tahun bekerja, saya mula fikir sudah tiba masa untuk memberi sepenuh tumpuan pada kerjaya seni,” ujarnya yang menjadikan karya Zuriat Dari Penjara sebagai langkah mula sebagai pelakon.

Mengulas lanjut perihal karier, pelakon yang dikatakan iras Elisya Sandha dan Rita Nadira itu mengakui selesa
menjayakan watak antagonis kerana menyifatkan karakter sebegitu mempunyai personaliti yang terbuka dan kasar.

Hal itu berbeza apabila dia perlu membawakan watak baik yang menuntut juraian air mata dan babak menjerut hati.

RASYA lebih senang menjiwai watak kasar dan antagonis berbanding menjadi perempuan lemah lembut.

Tidak menafikan mudah berasa tertekan sekiranya diminta melakonkan babak air mata, Rasya berkata,  perasaan sebegitu timbul mungkin disebabkan pengalamannya yang tidak seberapa sebagai pelakon.

“Apabila harus melakonkan babak menangis, saya jadi tidak banyak bercakap di set penggambaran. Lebih senang membuat hal sendiri dan memencilkan diri.

“Secara peribadi, saya pula gemar ketawa dan tidak mudah duduk diam.

“Bagi saya waktu pagi adalah masa yang sesuai untuk melakonkan babak sedih,” katanya.

Meneruskan cerita, anak keempat daripada enam beradik itu menanam impian diberi kepercayaan membawa watak pembunuh psiko yang tiada sifat perikemanusiaan.

“Watak sebegitu agak mencabar kerana banyak melibatkan permainan emosi,” jelasnya pelakon drama Kiblat Ke Syurga itu.

Berkongsi penglibatannya dalam Kiblat Ke Syurga, Rasya yang tampil sebagai Dian mengakui bukan mudah menghidupkan karakter itu.

BAKAL muncul dengan filem pertama lakonannya, Mayang tidak lama lagi. – Solekan @Elmandazuhairy 

Katanya, Dian mempunyai personaliti yang sederhana dan lemah lembut yang menuntut lontaran suara penuh kewanitaan berbanding sisi sebenarnya.

“Watak Dian agak mencabar. Meskipun dia seorang wanita yang baik dan sopan, tetapi untuk mendapatkan intonasi suara seperti itu bukan mudah.

“Saya perlu mencuba beberapa kali sebelum dipersetujui oleh pengarah (Ezrie Gazali).

“Walaupun nampak bersahaja, tetapi pada saya itu antara cabaran terbesar kerana bukan mudah untuk membawakan karakter yang lemah-lembut,” katanya yang turut akan muncul dengan filem pertama berjudul Mayang tidak lama lagi. – HIBGLAM

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok