MASIH berada dalam fasa berduka, namun hidup tetap perlu diteruskan. Berat tetapi itulah hakikat yang perlu didepani Khai Bahar selepas pemergian ibu tercinta pada Januari lalu.
Kehilangan yang begitu perit untuk ditelan, namun pemilik nama penuh Muhammad Khairul Baharuddin itiu harus berdamai dengan takdir yang sudah diaturkan Tuhan.
Ketika jiwanya berperang menerima takdir tersebut, bertalu-talu pula dia dilempar fitnah dan kontroversi yang sedikit sebanyak mencalarkan rekod bersihnya sebagai anak seni selama ini.
Semua kontroversi tersebut membuatkan ramai mula mengandaikan seperti wujud cubaan demi cubaan untuk menjatuhkan nama baiknya selama ini.
Bukan hanya difitnah menjalin hubungan sejenis, Khai bahkan didakwa kerap keluar berhibur dan suka berparti.
Sedar diburuk-burukkan, namun pelantun lagu Luluh itu enggan terlalu ‘melayan’ segala kontroversi negatif. Dalam masa sama, dia terkilan kerana sudah acap kali dikaitkan kisah sebegitu.
Saya hairan juga sebab ada sahaja dakwaan yang tidak benar tercetus.
“Namun, saya yakin kenalan terdekat tidak akan sesekali menyebarkan fitnah untuk menjatuhkan saya.
Apabila orang sibuk buat fitnah, kita mahu lawan pun tak guna. Ikut suka mereka hendak cakap apa, kalau sudah penat, mungkin ketika itu mereka akan berhenti,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Anak kelahiran Kangar, Perlis itu menambah, tuduhan kaki parti adalah perkara tidak berasas sementelah segala semangatnya untuk berhibur juga sudah memudar sejak ibunya jatuh sakit beberapa tahun lalu.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana memiliki ahli keluarga yang sentiasa percaya dan tidak mempersoalkan kehidupan peribadinya selama ini.
“Keluarga tidak pernah tanya sebab mereka kenal siapa saya.
Kalau nak kata suka berparti, saya jarang lepak dengan kawan-kawan.
“Selepas ibu disahkan sakit dua tahun lalu, saya sudah bataskan aktiviti luar sebab tidak mahu terleka dengan duniawi.
Sekarang selepas ibu pergi pun, saya lebih senang duduk rumah. Entahlah, rasa kosong dan tiada adrenalin untuk berhibur seperti dahulukala,” jelas pelantun lagu Bayang itu.
Bukan individu yang mudah melenting apatah lagi berdendam, Khai sentiasa memaafkan individu yang memburukkan dirinya kerana enggan ketenteraman mentalnya terganggu.
“Saya bukan jenis yang mudah benci atau marah orang. Kalau marah sekali pun, saya yang akan rasa bersalah dan pada akhirnya, saya minta maaf terlebih dahulu.
Bila marah, jiwa rasa tidak tenang. Jadi, jika ada orang cuba cari pasal, saya biarkan sahaja.
“Ketika ini, saya hanya fokus kepada mereka yang menyayangi dan menghormati saya,” tutur jejaka berusia 30 tahun itu. – HIBGLAM
Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.