IMEJ ‘rugged’ berambut panjang dengan kemeja diacu jeans lusuh, itu identiti santai seniman Pyanhabib yang mendedikasikan hampir seluruh hidupnya terhadap puisi.
Bertubuh kecil, namun jiwa penyair dan pelakon berusia 66 tahun itu cukup besar apabila menggunakan suara serta nukilannya ‘menegur’ politikus dan isu semasa dalam berkarya.
Pyanhabib atau nama lengkapnya Mohd. Supyan Abd. Rahman yang dikenali sebagai pengkritik sosial tidak gentar melontarkan buah fikiran sinikal dalam menyampaikan isi hati.
Bahkan bekas penyunting akhbar Utusan Melayu itu kental dengan sisi berani dan vokal, terutama ketika menyentuh hal berkaitan kemasyarakatan.
Kehilangan deria pendengaran akibat demam panas pada usia 12 tahun juga tidak menjadi halangan untuk ‘bercakap’ menerusi naskhah garapannya.
Aura lelaki yang sinonim dengan watak Osman Tikus dalam filem Kembara Seniman Jalanan itu mendeklamasikan puisi sentiasa memancing rasa khalayak.
Segmen Baca Puisi Di Bawah Tiang Lampu di Pasar Seni sekitar pertengahan 1980-an yang menjadi pentas bagi seniman jalanan itu umpama drama apabila beliau melontarkan suara disertai gerakan tubuh terhenjut-henjut.
Biar sudah dikenali di layar perak, cinta, terhadap dunia puisi tidak pernah goyah, bahkan satu persatu karya dikompilasikan seperti Balada Pyanhabib dan Melukis Puisi.
Tidak mengharap dijulang, Tokoh Puisi Kuala Lumpur 2022 dalam wawancara ketika menerima anugerah itu menganggap menulis sebagai terapi.
“Bagi saya menulis ini terapi kepada diri sendiri.
“Tidak pernah terlintas untuk menerima apa-apa anugerah,” katanya yang diberikan penghargaan itu daripada Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).
Malah, anak seni kelahiran Taiping, Perak itu juga berpegang kepada prinsip apabila menolak trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ketujuh (FFM7) menerusi Tsu Feh Sofiah kerana merasakan dirinya tidak layak.
Selain Tsu Feh Sofiah dan Kembara Seniman Jalanan, Pyanhabib membintangi Rozana Cinta 87 (1987), Tak Kisahlah Beb (1989), Mat Som (1990), Rock Oo! (2013), Apokalips X (2014) dan Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium (2015).
Kini tiada lagi kelibat Pyanhabib dalam acara kesusasteraan atau baca puisi apabila pada malam 4 Jun, beliau dijemput Ilahi ke negara abadi genap lapan hari selepas menyambut hari ulang tahun ke-66 pada 27 Mei lalu.
Berita dukacita disampaikan isterinya, Zurina Zakaria, 58, yang mengesahkan Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi hati.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua anak iaitu Najihah Mohd. Supyan, 31, dan Ahmad Ashmand Farabi Mohd Supyan, 28 tahun.
Jenazah dimandikan di Masjid As Sobirin di Lembah Keramat, Ampang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4.
Biarpun Allahyarham kini sudah tiada, namun karyanya akan terus hidup sekali gus menjadi suara idealistik serta karismatik seorang Pyanhabib. – HIBGLAM