AKTRES Puteri Sarah terkejut apabila menjadi sasaran seorang wanita yang menyamar sebagai pelakon, Nadia Brian menawarkannya menjadi ‘peneman’ golongan VIP dengan bayaran lumayan RM15,000.
Menurut Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 39 kejadian yang berlaku minggu lalu bermula dengan perbualan mesej yang mengajaknya menemani seorang lelaki berstatus datuk dari Johor Bahru.
Ada satu hari itu saya dapat mesej daripada seorang individu yang mengaku dirinya Nadia dan mula bertanya sama ada saya sibuk atau tidak. Pada mulanya saya okey sahaja sebelum dia mula bertanya tentang jadual kerja saya.
“Kemudian mula rasa pelik sebab dia minta saya bertemu dengan eorang lelaki berstatus datuk dari Johor Bharu. Saya pula ‘blur’ orangnya sebab sangka hendak bertemu dengan produser.
“Semakin pelik apabila individu itu pesan ‘no video no photo’ dan cakap saya hanya perlu menemani datuk tersebut minum kopi serta akan dibayar dengan jumlah RM15,000,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media drama Polis Peronda di sini, semalam.
Berkeras dengan pendiriannya, Sarah menegaskan tidak akan sesekali melakukan perkara tersebut sebelum mendapatkan pengesahan daripada Nadia.
Lebih mengejutkan, individu terbabit turut berani meminta nombor telefon milik artis lain daripadanya.
“Saya cakap pada individu itu, saya tak buat kerja-kerja begitu. Tak akan pernah nak teman minum dan sebagainya.
Kemudian, Nadia itu pun cakap tak mengapa sebelum dia minta pula nombor telefon artis lain.
“Selepas rasa semua ini tidak kena, saya terus hubungi Nadia Brian yang sebenar. Nadia kata dia baru hendak bersiap untuk penggambaran tetapi penyamar itu pula maklumkan sudah berada di set penggambaran,” ujarnya.
Tidak menunggu lama, dia terus membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
“Kebetulan saya sedang jalani penggambaran Polis Peronda di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, maklumkan pada pegawai polis dan terus buat laporan polis.
“Polis kata mungkin individu itu telah ‘hack’ nombor telefon Nadia dan curi maklumat dari situ,” jelasnya lagi. – HIBGLAM