PELAKON Puteri Sarah Liyana mendedahkan rakan seperjuangannya yang juga penyanyi, Bella Astillah masih dalam keadaan terkejut dengan perceraian dengan bekas suami, Aliff Aziz minggu lalu.
Menurut Puteri Sarah atau nama penuhnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 39, Bella juga sedang melalui proses menyesuaikan diri dengan kehidupannya sebagai ibu tunggal ketika ini.
“Selepas dia bercerai saya tidak berkesempatan hendak jumpa dia tetapi kebetulan dia jemput saya ke rumah pada hari raya Aidiladha baru-baru ini. Saya pun bawa anak-anak ke sana.
Bella masih dalam fasa terkejut dan sedang beradaptasi dengan status baharunya.
“Jadi, sebagai kawan, saya beri semangat dan sokongan,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media drama Polis Peronda di sini, hari ini.
Tambah Sarah, Bella masih belum boleh menerima hakikat dengan episod hitam yang dilaluinya baru-baru ini.
“Dia masih tak boleh menerima kenyataan tetapi mencuba untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang sebab ini kali kedua (bercerai).
Paling dia sedih adalah tentang anak-anak. Dulu saya tidak sedih sangat sebab sudah ‘move on’ lama.
“Saya pun pesan kepadanya, kalau perlukan apa-apa, saya sentiasa ada untuknya,” ujarnya.
Pada hari raya Aidiladha baru-baru ini, Sarah menuai perhatian apabila menitipkan pesanan istimewa buat Bella yang menyentuh hati ramai
“Sama-sama kita nikmati perjalanannya,” coretnya ringkas.
Untuk rekod, Puteri Sarah bercerai talak satu dengan pengarah sensasi Syamsul Yusof pada 14 Jun 2023 di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.
Sementara itu, Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah dan Aliff Aziz bercerai pada 13 Jun minggu lalu di Mahkamah Rendah Syarie Wilayah Persekutuan selepas melalui bermacam episod kecurangan. – HIBGLAM