‘President Snow’ meninggal dunia akibat sakit tua

PELAKON senior Donald Sutherland yang memegang watak sebagai Presiden Show menerusi filem The Hunger Games telah meninggal dunia pada usia 88 tahun.

Lebih memilukan apabila pemergiannya itu sekitar sebulan sebelum sempat beliau meraihkan ulang tahun kelahiran ke-89.

Berita duka itu dikongsikan oleh anaknya, Kiefer Sutherland menerusi aplikasi X.

Dengan berat hati, saya memberitahu bahawa bapa saya, Donald Sutherland telah meninggal dunia,” katanya.

Tambah Kiefer, dia menyifatkan mendiang bapanya sebagai tokoh penting dalam perkembangan industri filem Hollywood selain sudah membintangi lebih 200 buah naskhah.

“Secara peribadi saya menganggap beliau sebagai salah seorang pelakon terpenting dalam sejarah filem. Beliau tidak pernah berasa gentar untuk membawa peranan sebagai baik, buruk atau hodoh,” jelasnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau turut terkesan dengan pemergian aktor tersebut.

Saya pernah berpeluang bertemu dengan beliau. Walau kami berbeza usia, tetapi saya sangat kagum dengan hasil karya yang dipamerkan beliau.

“Beliau seseorang yang mempunyai personaliti yang hebat dan cemerlang dalam kerjayanya. Beliau memang seorang artis Kanada yang hebat. Kami akan merinduinya,” kata Trudeau.

Difahamkan punca kematian Sutherland disebabkan sakit tua.

Hampir 60 tahun mengabdikan diri dalam bidang seni, Sutherland memulakan kerjaya lakonannya sejak 1963 menerusi filem Tall Man in Nightclub.

Antara beberapa karya lain lakonannya ialah M*A*S*H (1970), The First Great Train Robbery (1978), Eye of the Needie (1981), Without Limits (1998), The Italian Job (2003) dan francais The Hunger Games (2012 hingga 2015).

Sepanjang kerjaya, beliau tidak pernah menerima pencalonan Oscar namun pernah menerima anugerah khas Oscar pada 2017.

Beliau pernah memenagi anugerah Emmy pada 1995 menerusi filem Citizen X manakala dua trofi Golden Globes bagi filem sama dan program televisyen, Path to War (2003).

Untuk info, Sutherland dilahirkan di Saint John, New Brunswick, Kanada pada 17 Julai 1935. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok