LIMA tahun dalam dunia peragaan, nama si manis Qasrina Karim sudah meniti di bibir kaki drama.
Kedengaran seperti sebuah transisi perjalanan yang mudah tetapi hakikatnya ketara keluar dari zon selesa apabila perlu berhadapan ramai bakat baharu lain untuk mencari ruang dan peluang sama.
Tidak menafikan situasi tersebut berlaku dalam rutin hidupnya ketika ini, jelitawan hijabista itu mengakui kehidupan sebagai selebriti lebih memenatkan berbanding dunia peragaan.
Terlalu banyak pengorbanan harus dilakukan, baik dari segi masa mahupun risiko perlu ditanggung selepas meletakkan diri di hadapan khalayak yang sering mengambil ‘tugas’ Tuhan menghakimi manusia.
Pahit mahupun manis, itulah jalan yang dipilih dan perlu dilalui wanita berusia 28 tahun itu.
Korban jiwa rapuh
Masih membiasakan diri dengan kehidupan sebagai seorang pelakon, pucuk muda yang mesra disapa Qas itu mengakui takut memikirkan kecaman. Dia bimbang jiwa rapuhnya berkecai.
Bukan manja atau tidak boleh dikritik, sebaliknya anak jati Selangor itu enggan tertekan jika membaca komen negatif yang akan mengganggu kesihatan mentalnya apatah lagi melibatkan perkara sensitif seperti ‘face shaming’.
“Saya seorang yang sukakan ketenangan, tidak mahu perkara negatif dan remeh-temeh mengganggu emosi saya, jujurnya hati saya sangat rapuh tetapi sejak bergelar artis, jiwa lembut itu perlu dikorbankan.
“Ya memang saya akui, saya takut kepada kecaman malah saya akan sedaya upaya mengelakkan diri daripada terdedah dengan caci maki netizen tetapi sedar saya tidak boleh lari daripada semua itu.
Pada orang lain mungkin perkara itu biasa, tapi bagi saya itu satu pengorbanan besar, ibarat menyerah diri disembelih kata-kata tajam netizen secara hidup-hidup, macam sebelum ini orang tiba-tiba sahaja komen dahi saya,” jelasnya kepada Pose.
Melanjutkan bicara, pemilik nama lengkap Qasrina Abd. Karim itu bagaimanapun berlapang dada dan reda untuk mengorbankan hati rapuhnya demi kerjaya.
Dia sedar bahawa sebaik mana pun manusia, tetap ada yang tidak suka.
Segala gerak-geri bahkan fizikal saya selalu dijadikan bahan jenaka, memang sakit, perit apabila orang hina benda yang saya tidak boleh ubah seperti bahagian tubuh badan saya.
“Bukan mudah untuk menelan semua itu tetapi ini jalan yang saya pilih, pengorbanan ini secara tidak langsung membentuk diri saya untuk menjadi lebih kuat baik daripada segi mental mahupun emosi.
“Saya sedar, mustahil jika hidup hanya mengharapkan pujian, mungkin kecaman itu merupakan petanda bahawa netizen semakin sedar dengan kewujudan saya,” ujarnya usai menjayakan sesi fotografi istimewa sempena Aidiladha baru-baru ini.
Kata Qas, dalam hidup, pengorbanan itu penting, bahkan dia juga percaya setiap orang pernah berkorban demi mencapai sesuatu yang diimpikan.
Elak cipta kontroversi
Seperkara lagi, pelakon drama Legenda Puteri Kasih itu bertegas, tidak gemar mencipta kontroversi demi sebuah publisiti. Tindakan sedemikian bertentangan dengan prinsipnya ketika mula menjejakkan kaki dalam industri.
Bukan mahu berlagak tapi setakat ini alhamdulillah saya masih bersih daripada sebarang kontroversi yang pelik-pelik.
“Saya manusia biasa banyak buat silap tetapi mungkin Allah tutup aib saya.
“Sesetengah orang akan buat kontroversi semata-mata untuk dikenali tetapi bagi saya semua itu tidak perlu, kalau ada bakat, lambat-laun orang akan kenal, nama kita juga akan naik.
“Saya lebih rela dikenali kerana bakat daripada menempel dengan gosip murahan, macam saya kata tadi, saya tak suka mengundang kecaman, pada saya itu tidak sihat. Tapi lain orang lain cara, terpulanglah,” tuturnya tegas.
Jawapan agak kontra dengan apa yang terjadi terdahulunya, penulis segera bertanya adakah dakwaan bercinta dengan pelakon Mierul Aiman bertebaran sebelum ini boleh disifatkan sebagai gosip murahan, Qasrina hanya tersenyum.
Dia bagaimanapun menjelaskan, tiada masa untuk bercinta dan berpegang prinsip, masuk ke dalam industri untuk fokus bekerja membina nama sehingga bakatnya dikenali lebih ramai sutradara hebat dari dalam mahupun luar negara.
“Sebenarnya apa yang terjadi di lokasi, habis setakat itu. Apabila hero heroin bujang digandingkan dalam satu naskhah, memang akan timbul macam-macam spekulasi.
“Bagi saya itu satu bonus untuk menaikkan sesebuah cerita. Untuk saya jatuh cinta, memang tiada masa. Saya masuk industri untuk fokus dan memberikan lakonan sehabis baik.
Lagi pun saya masih muda, banyak lagi cabang seni yang ingin saya teroka, saya tidak mahu gosip cinta yang tidak tahu hujung pangkal menghalang pertumbuhan karier. Biarlah bakat saya dipandang ramai lagi sutradara hebat,” katanya.
Ditanya apakah hala tuju dan perancangan kariernya pada masa hadapan selepas membintangi deretan drama popular, wanita bertubuh genit itu menanam impian untuk berlakon filem dan sekurang-kurangnya menggenggam sebuah trofi.
Hala tuju karier
Dia bagaimanapun sedar banyak usaha yang perlu dilakukan demi mencapai hasrat menggunungnya itu.
“Saya memang teringin nak berlakon filem, saya tahu sukar untuk dapat peluang itu tapi saya akan cuba sedaya upaya. Harap ada sutradara yang sudi tawarkan naskhah filem kepada saya.
“Satu lagi saya sasarkan mahu menang anugerah, tidak kira dalam kategori terbaik atau popular,
“Bukan terlalu berharap tetapi sebagai kepuasan sebagai pelakon.
Setiap impian itu bermula dengan usaha dan untuk itu saya sentiasa bekerja keras memperbaiki mutu lakonan sehingga berjaya menjadi antara pelakon terbaik negara,” luahnya seraya menutup bicara.