MESKI pergerakan terjejas sejak 2019 akibat serangan angin ahmar, vokalis kumpulan EYE, Izam tetap memenuhi undangan persembahan.
Izam atau nama lengkapnya Mohd. Izam Arshad, 57, berkata, dia perlu kuatkan semangat untuk bekerja demi menyara keluarga tanpa perlu mengharapkan bantuan orang lain.
Alhamdulillah ada masanya dalam seminggu boleh dapat empat hingga lima tawaran persembahan dan kebiasaannya ‘rate’ saya tiga lagu dalam RM5,000 hingga RM6,000.
“Penganjur masih mengikut kadar diberikan dan kalau tiada persembahan biasanya saya hanya berehat di rumah.
Ini cara saya tanggung keluarga. Saya ada dua isteri, tujuh anak, dua rumah perlu dibayar setiap bulan,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Dalam masa sama, Izam turut memaklumkan akan terus memerah tenaga mencari rezeki selagi diberikan kesihatan dan kudrat.
Tanggungan saya besar, tidak mungkin saya cuma mengharap sumbangan orang tanpa berusaha sendiri.
“Masa saya sakit hari itu tidak mengapalah, tetapi sekarang saya sudah boleh bergerak sekali gus perlu kuat semangat untuk bangkit.
Selagi terdaya, boleh bergerak dan menyanyi walaupun tidak berkemampuan seperti dahulu, saya akan usaha mencari rezeki,” jelasnya.
Izam yang ditemui semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Jalinan Kasih Prihatin KPJ Healthcare & mStar Baek antara lapan penerima sumbangan program terbitan portal mStar, mStar Baek musim kedua.
Selain Izam penerima lain ialah Isma Aliff, Allahyarham Jaafar Onn, Dwan Olan, Iqbal Mazlan, Pak Engku (bapa Along Spoon) dan Norazlina Zakaria.
Mereka menerima wang tunai RM3,000 selain kad rawatan perubatan bagi membolehkan seisi keluarga mendapat pemeriksaan kesihatan percuma di Klinik Waqaf An-Nur (KWAN) yang disediakan pihak KPJ Healthcare selama setahun. – HIBGLAM