Penyatuan semula Cokelat selepas 12 tahun berantakan

TEMPOH 12 tahun memilih haluan sendiri selepas lebih sedekad mengharungi pahit manis bersama dalam kumpulan Cokelat menyuntik 1,001 rasa yang sukar digambarkan kelima-lima anggota band rock alternatif tersohor Indonesia itu.

Menjalani kehidupan serta karier masing-masing selepas vokalisnya, Kikan serta pemain dram, Ervin memilih bergerak solo membuatkan persahabatan yang dulunya akrab terus menjauh.

Bagai didedahkan penyanyi tersebut, sepanjang tempoh tersebut hatinya teguh enggan menoleh kebelakang lagi demi perjalanan karier solo.

BAND asal Bandung, Indonesia yang dibarisi Kikan, Ervin, Edwin, Ernest dan Ronny itu akan beraksi di Zepp Kuala Lumpur bertepatan ulang tahun ke-27 Cokelat.

Namun ironinya, pemilik nama lengkap Namara Surtikanti, 46, yang sebelum itu aktif menghasilkan lagu cuma mampu mencipta sebuah dendangan sahaja ketika itu.

“Ironi bukan? Saya pilih jalan solo demi keluarga dengan harapan untuk bergerak sendiri serta meneruskan minat menghasilkan banyak lagi lagu.

“Saya keluar selepas merasakan tidak mampu memenuhi komitmen kepada band yang rancak dengan pelbagai jemputan persembahan selepas mempunyai anak kecil.

“Tetapi dalam tempoh 12 tahun itu sebenarnya saya cuma dapat cipta satu lagu sahaja,” katanya ketika pertemuan dengan HibGlam sewaktu sidang media Konsert Cokelat Kembali, baru-baru ini.

Bakal direalisasikan Tanjak Global Services selaku penganjur, konsert reunion yang akan berlangsung di Zepp KL pada 7 September depan diadakan selepas kali terakhir beraksi di negara ini 15 tahun lalu.

Selain Kikan kumpulan yang ditubuhkan pada 1996 itu turut disertai Edwin (gitar), Ernest (gitar), Ronny (bes) serta Ervin (dram).

Cokelat ditubuhkan pada tahun  1996 dengan menerbitkan tujuh  album penuh, namun pada 2010 vokalisnya, Kikan dan pemain dram, Ervin umum keluar band.

Menurut Kikan lagi, konsert berkenaan membawa simbolik penyatuan semula Cokelat bahkan kelima-lima mereka berharap dapat menyampaikan lagu baharu berjudul Pulang.

Pulang menceritakan transisi band itu dari detik perjalanan awal, berpisah dan kini kembali dengan lebih utuh bukan sahaja dari segi penyatuan muzik, malah jati diri sebagai saudara terdekat.

“Bayangkan hubungan kami sangat akrab, sudah seperti adik-beradik kerana segala susah senang ditanggung bersama tetapi akhirnya terpisah.

“Namun rahsia tuhan, kami dapat duduk semeja kembali seterusnya meneruskan cinta hakiki menghiburkan ramai di bawah jenama Cokelat, alhamdulillah,” ujarnya.

Berkongsi pertemuan semula yang dicetuskan Erwin bersama pengurus, Udzir merangkap suaminya, akui Kikan awalnya dia kurang senang Udzir berhubung dengan anggota lain.

Begitupun, hatinya terbuka sedikit demi sedikit untuk bergabung selepas melihat kesungguhan mereka dalam menjernihkan semula keadaan selepas bertahun-tahun menjarakkan diri.

BAGI yang ingin membuat tempahan tiket menonton konsert Cokelat boleh terus ke laman web ubertikets.asia.

“Memang selepas keluar hubungan kami dingin bahkan tidak lagi berhubung tetapi lima bulan sebelum pengumuman Cokelat bersatu, berlakunya komunikasi antara mereka tanpa pengetahuan saya.

“Awalnya saya marah tetapi selepas itu hati saya terbuka untuk bertemu. Memang awalnya rasa ‘awkward’, rasa kaku namun semuanya berlangsung dengan baik.

“Kami ada masuk studio untuk tengok semula keserasian, mujur Udzir minta semua minum dan bersembang dahulu bagi menenangkan kami, seterusnya adalah sejarah,” tambahnya mengimbas detik perjumpaan pertama sekitar dua tahun lalu.

Terdahulu, band yang berpisah selama 12 tahun itu kembali bersatu menerusi Hari Kemerdekaan Indonesia yang berlangsung 17 Ogos 2022.

Cokelat antara kumpulan terbaik yang mengukir nama dalam industri hiburan rantau Asia Tenggara menerusi lagu popular seperti Karma, Segitiga, Luka Lama, Ku Pilih Dia, Pergi, Jauh dan banyak lagi. – HIBGLAM

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan anda.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok