KALAU nak murah, masak sendiri.”
Itu kata pelakon Datin Intan Najuwa yang kesal dengan sikap segelintir individu gemar berkira dalam urusan jual beli makanan.
Intan atau nama lengkapnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 27, berkata, dia bersimpati dengan nasib peniaga yang berpenat lelah menyediakan makanan namun dikritik meletakkan harga mahal.
Jenis nak murah tetapi makan mahu sedap malas masak sendiri. Kemudian merungut orang jual mahal. Kasihan, mereka berniaga dan barang mentah itu semua modal. Semua pakai duit bukan daun.
“Dengan penat memasak, membungkus dan pembantu lagi. Semua gunakan kos manakala pelanggan tahu nak murah sahaja.
Zaman sudah 2024, semua barang harga naik. Kasihan tengok peniaga kecil-kecilan bersusah payah meniaga makan dan lepas itu ada pula jenis (pelanggan) nak merungut sahaja,” katanya menerusi InstaStory.
Tidak hanya itu, pelakon drama Racun Rihanna berkenaan turut menitipkan nasihat supaya pembeli menyediakan makanan sendiri sekiranya merasakan makanan luar lebih mahal.
Kalau rasa mahal, tidak perlu beli dan merungut sebab masing-masing ada pilihan.
“Masak tidak mahu, malas. Selepas itu beli mahal sikit merungut. Ramai ya orang begitu,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, anak jati Johor Bahru itu memahami kos yang perlu ditanggung peniaga berikutan keadaan ekonomi semasa yang menghimpit penjual kecil.
“Kasihan kadang-kadang tengok ramai suri rumah bersusah payah jual makanan cari pendapatan sampingan.
Orang itu keluarkan modal, titik peluh lagi. Ingat senangkah mahu masak sedap-sedap.
“Selepas itu yang jenis hati kaudu (hati busuk) merungut sahaja kerja, pertikai fasal harga,” kongsinya.
Intan antara selebriti yang lantang bersuara dan berani membuat teguran secara terbuka membabitkan isu kemasyarakatan serta pengguna. – HIBGLAM