Peminat Indonesia menangis tengok Siti Nurhaliza

PEMINAT penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menitiskan air mata apabila berpeluang menonton persembahan idolanya itu di Indonesia.

Menerusi video yang tular, peminat berkenaan menangis dan terharu kerana sudah lama mengimpikan untuk menonton persembahan diva terkenal itu.

Kata peminat tersebut, kemunculan penyanyi lagu Biarlah Rahsia itu dianggap sebagai hadiah terindah selain kagum dengan kelunakan suaranya yang luar biasa.

“Saya sangat meminati Siti Nurhaliza. Tidak sangka impian saya selama ini menjadi kenyataan.

“Hebat betul persembahannya dan saya tidak sangka berpeluang melihatnya depan mata,” kata peminat berkenaan.

Berdepan dengan kritikan ramai kerana menerima jemputan David Foster yang didakwa penyokong Israel, kehebatan persembahan Siti bersama maestro hebat dunia itu bagaimanapun tidak dapat dinafikan.

Meski tidak mempunyai banyak masa untuk membuat latihan, kemunculan Siti menyanyikan lagu I Will Always Love You nyanyian asal Whitney Houston berjaya memukau ribuan penonton.

Kemunculan Siti juga berjaya menyelamatkan maruah penganjur konsert Hitman Returns-David Foster dan Friends dengan menggantikan posisi penyanyi Jessie J yang menarik diri pada saat akhir.

Terdahulu, timbul kontroversi apabila gerakan Boycott, Divestment, Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) meluahkan rasa kesal apabila Siti muncul dalam persembahan itu.

Difahamkan David merupakan antara selebriti yang aktif menyumbang dana kepada tentera Israel termasuk acara yang dianjurkan oleh Friends of Israel Defence Forces (FIDF).

Susulan itu ramai menganggap Siti tidak sensitif selain dikatakan menjalin kerjasama dengan individu menyokong Israel.

Namun, peminat tegar Siti tampil mempertahankan tindakan bintang kesayangan ramai itu yang dianggap mempunyai alasan tersendiri ketika menerima tawaran tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok