ENGGAN terlalu mengikut emosi, bekas isteri Hafidz Roshdi, Shuhada nekad menghentikan tindakan berbalas serangan dalam media sosial dengan pelakon itu.
Ujar Shuhada atau nama sebenarnya Nurul Shuhada Mat Shukri, 30, kini dia hanya menyerahkan segala-galanya kepada Allah untuk membalas setiap perbuatan.
Ya Allah, jauh sangat dah aku punya amarah ni. Ampunkan aku ya Allah. Maafkan aku ya Allah. Aku percaya pembalasan dariMu lebih baik dan pedih.
“Maka ya Allah, aku serahkan segalanya padaMu. Wakillah aku dan anak-anak, Umar dan Humairah.
Ya Allah, lawanlah dengan si polan itu, sesungguhnya Kau Maha Mengadili sebaiknya,” tulisnya dalam Instagram.
Mahu tenang, Shuhada turut memadam beberapa hantaran berkenaan bekas suaminya bagi mengelakkan kemelut antara mereka yang diperkatakan semula netizen semakin berpanjangan.
Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, dia hanya mahu memberi sepenuh tumpuan membesarkan anak-anak selain menjalani kehidupan positif.
“Saya mahu fokus kepada tugas utama iaitu menjadi ibu yang baik dan anak yang baik kepada kedua-dua ibu bapa serta menjaga nama baik semua yang sudah menyokong dan membantu saya.
Saya sudah malas nak layan dan berlawan dengan orang yang patut pupus. Jadi, saya arkibkan yang lepas.
“Anda (pengikut) fokus sahaja menasihati si polan untuk berubah di ruang komen terbaru hantaran saya. Terima kasih semua,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Shuhada mengeluarkan kenyataan mengenai isu nafkah anak selepas Hafidz berkongsi cerita kembali menerima tawaran berlakon selepas setahun tidak masuk set penggambaran.
Malah wanita terbabit juga secara terbuka mendedahkan perbualan Whatsapp berunsur lucah yang didakwa antara aktor berkenaan dengan seorang individu di Instagramnya.
Hafidz kemudian membuat laporan polis berhubung tuduhan dilemparkan, bahkan pada hari sama Shuhada juga mengajukan laporan kepada pihak berkuasa di Perlis.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 27 Julai 2023 yang mendapat liputan meluas media.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umarr, 4 tahun. – KOSMO! ONLINE