TRAUMA diserang, pelakon Kamal Adli mengakui masih dihantui perasaan bimbang kejadian sama berulang meski pelaku sudah dijatuhkan hukuman penjara 28 bulan.
Kata Kamal atau nama lengkapnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 38, dia diminta untuk tidak mengulas kejadian yang menimpanya tahun lalu di Singapura sehingga individu terbabit menerima hukuman.
“Saya dinasihatkan untuk tidak bercakap tentang hal ini sehinggalah pelaku menerima hukuman. Jadi, apabila dia sudah dijatuhkan hukuman penjara, baru saya boleh memberi maklum balas mengenai perkara ini.
Secara peribadi bukan tidak berpuas hati dengan hukuman itu tetapi pada pandangan saya hal ini perkara serius yang boleh mengancam nyawa orang lain.
“Selepas dia menjalani hukuman, apakah jaminan bahawa insiden ini tidak akan berulang lagi. Bukan hanya saya, tetapi hal sama boleh berlaku kepada orang awam lain,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di majlis Pelancaran Viu Original, Nafsu di ibu kota semalam.
Pelakon filem Abang Long Fadil itu bagaimanapun menafikan bahawa dia mengatakan Singapura sebagai sebuah negara yang berbahaya kepada pelancong.
“Saya tidak mengatakan Singapura itu negara berbahaya, tetapi in melibatkan keselamatan orang awam, ditambah pula dengan alasan tertuduh yang tidak masuk akal.
Sejak insiden itu berlaku, dia (tertuduh) sering mengubah kenyataan mengenai punca bertindak sedemikian. Dia memberitahu mengalami halusinasi mengatakan saya telah mencabul kehormatan seorang saudara wanitanya.
“Bagi saya ini tidak masuk akal kerana tindakan dia boleh menyebabkan kematian. Bagi saya apa yang dikatakan itu hanya satu alasan selamat dengan mengaitkan tindakannya dengan masalah kesihatan mental,” katanya.
Dalam pada itu, Kamal turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan penganjur yang dilihat seakan lepas tangan dan tidak mempedulikan keadaannya selepas diserang tertuduh.
“Kalau ingin bercakap tentang kecewa, saya berasa kecewa dengan pihak penganjur kerana perkara itu berlaku di acara yang mereka anjurkan.
Mereka (pihak penganjur) tidak menghubungi atau bertanya tentang keadaan saya selepas dipukul dengan cota besi,” luahnya.
Bapa kepada seorang anak itu bagaimanapun mengakui tidak takut untuk ke Singapura sekiranya terikat dengan tuntutan kerja.
Saya tidak trauma untuk pergi ke mana-mana acara (expo jualan) di negara itu tetapi berharap pihak penganjur boleh menyediakan kawalan keselamatan yang ketat,” katanya.
April lalu, tertuduh Muhammad Nabil Rashid, 34, mengaku bersalah mencederakan Kamal dengan menggunakan cota besi di Singapura Expo tahun lalu.
Atas kesalahan itu mahkamah Singapura menjatuhkan hukuman penjara 28 bulan dan dua minggu atas satu pertuduhan menyerang dan dua pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap individu lain.
Muhammad Nabil mengaku melakukan kesalahan itu kerana beranggapan Kamal telah mencabul saudara wanitanya.
Tertuduh juga sebelum ini telah direman di Institut Kesihatan Mental (IMH) bagi menjalani penilaian psikiatri. – HIBGLAM
View this post on Instagram