Pedih dihina kerja kelab malam – Jaclyn Victor

GENAP 20 tahun berkecimpung dalam dunia seni suara, Jaclyn Victor kini sememangnya tersenarai sebagai antara penyanyi prolifik yang mempunyai vokal ampuh tiada tolok banding.

Pengalaman beraksi di pentas ‘live’ pada usia muda disusuli penyertaan pertandingan realiti, Malaysian Idol mematangkan perjalanan seni pemilik nama lengkap Jaclyn Joshua Thanaraj Victor itu.

Namun, siapa sangka, dalam mengejar impian dan membantu ibu tercinta mencari rezeki, dia pernah berdepan pandangan skeptikal individu yang tidak memahami konsep menghiburkan pengunjung di pusat hiburan.

Kongsi Jaclyn atau mesra disapa Jac, dirinya pernah dihina seorang pemandu teksi yang menganggap pekerjaannya memalukan.

“Ketika itu saya masih muda, berusia dalam lingkungan 18 tahun tetapi sudah bekerja di sebuah pusat hiburan untuk menolong ibu mencari rezeki.

“Setiap hari saya berulang naik teksi dan tentu sahaja dalam perjalanan saya bertemu dengan ramai pemandu.

“Namun, saya berhenti berkongsi pekerjaan saya apabila suatu hati saya menaiki teksi seorang pemandu yang skeptikal dengan pekerjaan saya sehingga bertanya sama ada ibu saya tahu saya menyanyi di kelab malam,” katanya ketika ditemui HibGlam.

DUA dekad bergelar penyanyi profesional, Jac sudah menjuarai banyak pertandingan nyanyian dalam dan luar negara.

Enggan mengenang kisah lampau serta mengingati pandangan negatif orang terhadap pekerjaan pertama dilakukan sebelum menjuarai Malaysian Idol, Jac mengakui ibunya Maggie Victor menjadi pendorong utama kerjaya seninya.

Tidak hairan, dia tidak pulang dengan tangan kosong setiap kali memasuki pertandingan, selepas mencetuskan fenomena Malaysian Idol musim pertama pada 2014, 18 tahun kemudian, Jac kembali bergelar juara menerusi program Gegar Vaganza musim sembilan (GV9).

Bahkan, pencapaian membanggakan diteruskan ketika All Stars Gegar Vaganza (GV10) tahun lalu apabila dia menewaskan ramai penyanyi berpengalaman lain dalam program tersebut.

“Seperti saya katakan, ini semua berkat doa mak yang tidak putus memberikan dorongan sama ada dalam kerjaya mahupun kehidupan,” luahnya.

Kini, sekali lagi anak sulung daripada empat bersaudara itu akan membanggakan keluarga apabila bakal tampil dalam konsert solo pertama.

Selama dua dekad mengharungi perjalanan berliku sebagai anak seni, akhirnya impiannya berada di pentas mega secara solo bakal menjadi kenyataan pada 12 Oktober depan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok